Malaysia Dateline

Program Daie Muda Yadim diharap mampu melonjakkan kebaikan untuk semua

Program Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diharap mampu melonjakkan kebaikan untuk semua, kata yang Dipertuanya, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Ustaz Nik Omar berkata, melonjakkan kebaikan untuk semua itu juga menggambarkan Islam adalah agama yang penuh rahmat dan kerahmatan itu dapat dilihat dalam segenap bidang kehidupan sama ada dalam kehidupan individu, bermasyarakat atau bernegara.

“Itu harapan kita di Yadim terhadap program Daie Muda Yadim (DMY). Seperkara lagi, semua pihak termasuk media turut memainkan peranan utama dalam mewarnai dakwah dari sudut media itu sendiri.

“Dakwah bukan hanya tertumpu kepada orang yang bercakap di tempat tertentu seperti masjid, bahkan dakwah itu adalah kehidupan dalam segenap lapisan dan lapangan kehidupan termasuk peranan media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yadim dan TV Al Hijrah bagi program DMY.

MoU tersebut dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata, MoU yang dimeterai itu bertujuan untuk menyebar luaskan peranan agensi agama termasuk media dalam mempromosikan program-program yang memberi kebaikan kepada seluruh umat.

Beliau berkata, pihaknya mahu menyajikan program-program yang berkualiti untuk menggantikan minda dan rakyat dari memfokuskan kepada berita-berita yang tidak benar.

“Selain berita tidak benar, program berkualiti juga adalah bagi menggantikan berita-berita yang membawa kepada sentimen agama dan perkauman, menyebarkan berita-berita yang akhirnya tidak memberi pulangan baik untuk pembangunan sesebuah negara.

“Antara cara-caranya adalah kami merancakkan program-program termasuk yang berkait rapat dengan dakwah, tetapi memberi kebaikan kepada seluruh umat termasuk program DMY ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief memaklumkan, pihaknya menyasarkan penyertaan sekitar 20 hingga 30 orang dalam program kali ini.

“Program yang kita laksanakan ini bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat muda dakwah daripada pelbagai lapangan bidang pengajian dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

“Mereka akan diberikan latihan insentif selama empat bulan dan penekanan yang akan diberikan adalah dari sudut kemantapan ilmu menyampaikan mesej agama Islam serta kemantapan akhlak dalam kalangan daie itu sendiri.

“Program selama empat bulan ini akan mula dilaksanakan bermula 9 Mac ini dan had umur peserta adalah dari usia 18 tahun sehingga 30 tahun,” katanya