Program FitMalaysia edisi Melaka dibatalkan akibat jerebu

Program FitMalaysia edisi Melaka dibatalkan akibat jerebu

Program FitMalaysia Edisi Melaka yang dijadual berlangsung di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka hari ini terpaksa dibatalkan akibat jerebu.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata program tersebut terpaksa dibatalkan berdasarkan nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka serta Jabatan Alam Sekitar Melaka.

“Laporan IPU yang dicatatkan di Bandaraya Melaka pada petang ini adalah sekitar 120 dan dijangkakan berada di paras tidak sihat untuk aktiviti luar esok, aktiviti fizikal di kawasan terbuka tidak digalakkan sekiranya IPU melebihi 100,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut program FitMalaysia sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutamanya kanak-kanak, oleh itu, pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan dengan masalah kesihatan.

Sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan program FitMalaysia Edisi Melaka pada masa akan datang akan dimaklumkan kemudian dan KBS mengucapkan ribuan terima kasih kepada lebih 12,000 orang peserta yang telah mendaftar untuk menyertainya.