Malaysia Dateline

Program Food Bank Siswa Malaysia diperluas kepada 123 IPT tahun depan

Program Food Bank Siswa Malaysia akan diperluaskan kepada 123 institusi pengajian tinggi (IPT) merangkumi politeknik, institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi tujuan itu.

“Pada tahun ini sebanyak 22 universiti awam telah mendapat manfaat daripada program tersebut dan melebihi sasaran awal 20 universiti awam yang ditetapkan.

Pada tahun ini juga sebanyak 6,700 penerima telah mendapat manfaat daripada program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Siri Syarahan Kementerian dan Majlis Perasmian Food Bank Siswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata program tahun depan juga akan diperkemaskan daripada aspek logistik dengan menyediakan satu pusat pengedaran, kemudahan lori untuk menghantar barangan yang diberikan oleh rakan strategik penyumbang dan peti sejuk untuk menyimpan makanan.

Beliau berkata setakat ini terdapat 430 rakan strategik penyumbang daripada pelbagai syarikat telah menyertai program berkenaan dan angka berkenaan dijangka akan terus bertambah walaupun tidak mendapat sebarang insentif daripada kerajaan buat masa ini.

Katanya bagaimanapun kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pemegang kepentingan dalam program ini untuk pemberian insentif yang difikirkan sesuai.

“Barangkali aspek yang di mana di bawah kawal selia kami, kami boleh janjikan satu proses, misalnya kalau mereka berurusan dengan Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang memenuhi garis peraturan, kita akan pastikan satu sistem penyampaian yang lebih pantas, itu sangat membantu mereka.

Program ini tidak melibatkan kos yang besar tapi berimpak tinggi terutama untuk membantu siswa-siswi daripada golongan berpendapatan rendah untuk meringankan beban perbelanjaan mereka,” katanya.