Four Corners: Tun M guna media barat desak Najib letak jawatan, kata Salleh

Four Corners: Tun M guna media barat desak Najib letak jawatan, kata Salleh

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada pilihan lagi, kecuali mengeksploitasi saluran lain misalnya media Barat, selepas gagal dalam percubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk SeriMohd Najib Razak dalam Umno dan Parlimen.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Dr Salleh Said KeruakBekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada pilihan lagi, kecuali mengeksploitasi saluran lain misalnya media Barat, selepas gagal dalam percubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Umno dan Parlimen.

 Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, program Four Corners oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) adalah satu lagi usaha Dr Mahathir untuk menggunakan media Barat sebagai sebahagian daripada Kempen Anti-Najib beliau.

“Dr Mahathir tidak ada lagi pilihan melainkan mengeksploitasi saluran lain seperti media Barat, yang beliau cerca semasa beliau berkuasa, dan berganding tenaga dengan seteru politik seperti Lim Kit Siang, yang dipenjarakannya semasa beliau berkuasa.

“Dengan menggabung jalin beberapa peristiwa, mereka (ABC) mewawancara hanya  Dr Mahathir dan peserta lain dalam Kempen Anti-Najib beliau, yang secara terbuka mengesahkan niat mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Tiada usaha untuk mengimbangi, dan tiada bukti yang dikemukakan untuk mewajarkan tuduhan liar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salleh berkata polis, pendakwa raya dan mahkamah telahpun mengesahkan bahawa kematian penuh tragik masing-masing membabitkan pengasas Arab-Malaysian Development Bank (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais dan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu tidak mempunyai kaitan langsung dengan perdana menteri.

“Memandangkan pembunuhan ini telahpun melalui siasatan polis dan proses mahkamah yang menyeluruh, tuduhan berniat jahat ini adalah suatu penghinaan bukan sahaja kepada perdana menteri, tetapi juga kepada polis, badan kehakiman dan sistem keadilan jenayah Malaysia secara keseluruhan,” kata Salleh.

Beliau berkata selama bertahun-tahun, Dr Mahathir dan Kempen Anti-Najib berusaha untuk menyerang perdana menteri (Najib) dalam perkara ini, bagaimanapun tiada bukti sama sekali terhadap sebarang salah laku, dan bukti itu tidak akan ada disebabkan tuduhan ini semata-mata untuk memburuk-burukkan Najib dengan didorong oleh kepentingan politik.

Katanya Hussain tidak mempunyai sebarang peranan dalam AmBank sejak 1980-an dan akaun perdana menteri pula dibuka pada 2011.

“Hussain bukanlah sebahagian daripada Ambank selama hampir 30 tahun, dan sama sekali tidak terbabit dalam akaun itu, polis telahpun mengesahkan bahawa Hussain tidak pernah membuat apa-apa laporan berkaitan akaun perdana menteri semasa beliau masih hidup,” katanya.

Mengenai kes Kevin Morais, Salleh berkata peguam negara mengesahkan bahawa Morais tidak pernah terbabit dalam sebarang siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau perdana menteri.

“Morais ditukarkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014, setahun sebelum siasatan ke atas 1MDB dimulakan.

“Oleh itu, adalah mustahil untuk Morais sendiri yang menulis apa jua kertas pertuduhan berkaitan 1MDB,” kata Salleh.

Mengenai kes pembunuhan Altantuya, Salleh berkata perdana menteri telahpun memperjelaskan bahawa beliau tidak mengenali, tidak pernah berjumpa, tidak pernah berkomunikasi dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan wanita itu.

Salleh berkata proses perundangan yang menyeluruh telah dilaksanakan, termasuk siasatan polis dan perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.

“Tidak ada di peringkat mana pun dalam kes perundangan ini yang mengaitkan perdana menteri, walaupun secara tidak langsung,” katanya.

Salleh berkata dua pihak disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman. Mereka bukanlah pengawal peribadi perdana menteri — ini adalah dakwaan mengelirukan yang sengaja dibuat untuk mewujudkan teori konspirasi palsu.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki berkenaan adalah anggota unit polis yang menyediakan kawalan keselamatan secara bergilir-gilir kepada pegawai kerajaan serta kenamaan yang sedang melawat dan Najib tidak tahu menahu tentang perbuatan mereka sehinggalah kedua-duanya ditangkap.

TAGS