Malaysia Dateline

Program HOPE platform untuk siswa ceburi dunia perniagaan

Program “Hands On Programme for Enterpreneurship” (HOPE) menjadi platform bagi siswa dan siswi menerokai dunia keusahawanan semasa masih menuntut di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Noor Azmi Mad Said berkata ia juga bagi memupuk minat dan semangat keusahawanan melalui latihan praktikal dalam usaha membentuk usahawan muda.

“Ia bagi membantu siswa untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawanan sebelum tamat pengajian dan juga salah satu usaha dalam memperkukuhkan budaya dan pemikiran keusahawanan,” katanya.

“Program seperti ini yang bukan sahaja dapat mendidik pelajar dalam bidang perniagaan malah dapat lahirkan usahawan yang berdaya saing di peringkat pengajian tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian “Hopepreciation Day” 2018 di sini, hari ini.

Majlis itu ialah anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Turut hadir Presiden Perdasama Tan Sri Matshah Safuan.

Noor Azmi berkata para usahawan muda juga diminta agar menjalankan perniagaan yang boleh berdiri sendiri dan tidak melibatkan ‘founder’ atau pemunya perniagaan.

“Selagi kita jalankan perniagaan yang ada founder seperti ini, selagi itulah perniagaan kita berisiko kerana jika berlaku apa-apa epada founder ia akan menjejaskan perniagaan kita dan selain itu, perniagaan melibatkan founder tidak boleh diwarisikan ke pada anak cucu kita,” katanya.

Program HOPE adalah program membentuk usahawan muda yang dilatih secara praktikal untuk memupuk minat dan semangat keusahawanan di peringkat siswazah seterusnya membantu mereka untuk menimba pengalaman dalam bidang keusahawanan sebelum tamat pengajian.

HOPE telah diperkenalkan di USIM sejak 2015.

— BERNAMA