Malaysia Dateline

Program i-Sinar diperluas kepada pencarum KWSP terjejas pendapatan

Kerajaan akan melonggarkan syarat kepada mereka yang terjejas pendapatan untuk mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, program i-Sinar akan dibuka kepada semua ahli KWSP terjejas pendapatan tidak kira sama ada mereka kehilangan pekerjaan atau dikurangkan pendapatan.

“Setelah berbincang lanjut, program i-Sinar akan dibuka kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.

“Tidak kira hilang pendapatan atau terkurang pendapatan tanpa mengira sama ada bekerja formal, bekerja sendiri atau ahli yang masih aktif atau tidak,” katanya dalam penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat tadi.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan akan memanfaatkan sehingga 8 juta ahli berbanding 2 juta ahli yang diumumkan sebelum ini.

Sebelum ini, skop i-Sinar hanya merangkumi kepada ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.