Program Iltizam bantu pelajar di Tanjung Manis

Program Iltizam bantu  pelajar di Tanjung Manis

Seramai 496 pelajar telah menerima bantuan awal persekolahan menerusi Program Iltizam yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

NGO tersebut ialah Persatuan Anak Sarikei(Panas)dan Pertubuhan Komunuti Harmoni Sarawak (Harmonis) yang berkerjasama dengan Ekuiti Nasional Berhad(Equinas)dalam menjayakan program tersebut pada tahun ini.

Menurut Pegawai Eksekutif Kanan CSR Equinas,Mohamad Farhan,program Iltizam telah memfokuskan murid-murid di kawasan luar bandar dengan menyediakankan pakaian seragam sekolah.

Katanya,antara sekolah yang terlibat pada program terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang,SK Bukit Kinyau,SK Sentebu,SK Sebayang,SK Nanga Ju,SK Abang Gesa Belawai,SK Sebako,SK Tekajong dan SK Kampung Bruit.

“Keseluruhannya program bantuan ini telah menelan belanja sebanyak RM30 ribu bagi menyediakan pakaian seragam sekolah.

“Justeru,semoga dengan bantuan dan sumbangan seperti ini akan dapat meringankan ibubapa yang kurang berkemampuan,’ katanya.

Sementara itu,Penasihat  Panas Abdul Mutalib berkata, tujuan utama program adalah untuk memastikan anak-anak luar bandar bermotivasi dan gembira hadir ke sekolah nanti.

Beliau seterusnya berharap agar usaha berterusan NGO dalam membantu kemajuan pendidikan sekaligus melahirkan generasi yang berguna pada masa hadapan.

Pada masa sama Pengerusi Harmonis, Gusti Ardanisyah Gusti Asmadi berkata, program berkenaan sedikit sebanyak akan dapat  meringankan beban ibubapa dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak mereka.

“Kebiasaannya mereka akan keluar ke bandar terdekat seperti Sibu atau Sarikei dengan kos perjalanan RM50 hingga RM100 untuk membeli keperluan sekolah anak-anak.

“Maka dengan adanya program seumpama ini berupaya membantu ibubapa yang tinggal jauh di kawasan luar bandar dalam menyediakan pakaian sekolah anak-anak mereka,” jelasnya.

Rata-rata ibu bapa yang hadir semasa sesi penyerahan tersebut bersyukur dan berterima kasih atas usaha ini. Sememangnya bantuan ini meringankan beban mereka dalam menyediakan kemudahan pakaian buat anak-anak untuk sesi persekolahan tahun hadapan.

Sesi penyersahan terakhir rombongan Program Iltizam ini berlangsung semalam di SK Kampung Bruit,Tanjung Manis.