Program imunisasi fardu kifayah, lawan anti vaksin, kata pakar perubatan

Program imunisasi fardu kifayah, lawan anti vaksin, kata pakar perubatan

Langkah pencegahan awal penyakit melalui program imunisasi menjadi fardu kifayah bagi setiap individu dalam masyarakat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob berkata, aspek pencegahan penularan penyakit berjangkit dalam musim perayaan ini perlu dititikberatkan.

Menurutnya, membiarkan anak tanpa mengambil vaksin bergaul bersama-sama anak yang mematuhi program imunisasi akan meningkatkan risiko jangkitan kepada kedua-dua pihak.

“Risiko jangkitan juga tidak terhad kepada kanak-kanak, malah orang dewasa yang mempunyai sistem imun rendah, mereka yang mendapat rawatan kanser dan ibu mengandung juga sangat rentan terhadap penyakit ini,” dipetik daripada artikel beliau di Berita Harian hari ini.

Mengulas situasi terkini program imunisasi di negara ini, beliau menyatakan peratusan kanak-kanak yang sepatutnya menerima pelalian vaksin semakin berkurangan akibat kempen gerakan antivaksin.

“Pada masa sama, jumlah penyakit berjangkit berkaitan pencegahan vaksin semakin meningkat serta beberapa kematian juga dilaporkan baru-baru ini,” jelasnya.

Menyedari hal berkenaan,
Pengarah Program Perubatan International Medical University (IMU) itu berkata, ibu bapa yang mempunyai bayi kurang tiga bulan dinasihatkan untuk berpantang di rumah serta menghadkan pengunjung.

“Kita tidak pasti siapa pembawa kuman, ada kemungkinan antara anak tetamu yang masih belum menerima vaksin.

“Tetamu yang berhari raya pula dinasihatkan mencuci tangan jika ada keperluan memegang bayi anda. Sebaiknya, tetamu tidak perlu menyentuh bagi apatah lagi menciumnya,” ujarnya.

Pakar perubatan itu juga menyarankan supaya tetamu yang berhari raya dan melakukan ziarah keluarga agar memendekkan tempoh berada di rumah yang dihuni anak kecil dan ibu yang masih berpantang.

“Mungkin hari raya tahun ini, agak sedikit terhad pergerakan kita, namun langkah awal ini boleh membendung penularan penyakit cegahan vaksin seminimum mungkin,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui kenyataannya baru-baru ini berkata, umat Islam dinasihatkan agar tidak meragui bahan yang digunakan dalam suntikan vaksin.

Masyarakat Islam, ujarnya, perlu mematuhi saranan daripada Kementerian Kesihatan demi kemaslahatan dan kesihatan generasi akan datang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai bagi menghindari difteria, pertusis, tetanus, polio dan haemophilus tnfluenzae type B.

Dilaporkan, daerah Baling di Kedah merekodkan penolakan vaksin paling tinggi pada 2014 dan 2015.

COMMENTS

Wordpress (0)