Malaysia Dateline

Datuk Seri Shafie Apdal

Program Jelajah Kampungku Sihat bantu Sabah capai aspirasi

Program Jelajah Kampungku Sihat anjuran Kementerian Kesihatan mampu membantu kerajaan negeri Sabah mencapai aspirasi melahirkan rakyat yang sihat dan sejahtera.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap aspek kesihatan seluruh rakyat di Sabah serta telah mewujudkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri bagi memenuhi aspirasi itu.

“Perkara ini menjadi agenda penting dalam misi dan visi pentadbiran kerajaan baharu negeri Sabah yang mahu membantu rakyat sehingga ke peringkat akar umbi dengan harapan tiada golongan yang terkecuali daripada mendapat manfaat pembangunan yang telah direncanakan.

“Justeru, selaku peneraju kepada pembangunan masyarakat Sabah yang sihat sejahtera, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dalam menangani pelbagai isu kesihatan,” katanya ketika merasmikan Jelajah Kampungku Sihat peringkat Semporna hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Mohd Shafie, kerjasama yang efektif dan berintegriti sentiasa diamalkan bagi mengoptimumkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Sabah.

Beliau berkata kerajaan telah menyusun pelbagai strategi melalui program yang mampu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Sejumlah 300 pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) turun padang dan melawat rumah penduduk di 40 kampung dalam daerah ini untuk membuat tapisan kesihatan.

— BERNAMA