Malaysia Dateline

Program Jerayawara AMANAH Sarawak terus mendapat sambutan

Program Jerayawara yang dilaksanakan oleh Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak terus mendapat sambutan daripada pengundi dan penyokong di negeri ini.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, setakat ini program berkenaan telah diadakan di Demak Laut, Sebuyau, Gedong, Kabong, Jemoreng dan Semop.

Katanya, program seterusnya nanti bakal diadakan di Kuala Rajang, Muara Tuang dan Samariang yang dijadualkan sehingga hujung September ini.

“Alhamdulilah…sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada ahli dan jentera AMANAH di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilawati.

“Selain bertemu dengan ahli parti, program ini turut mengadakan ‘Ziarah Kasih’ bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di setiap kawasan DUN yang disinggahi,” ujarnya.

Katanya, walaupun program dilaksanakan secara berskala kecil ekoran masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun keselamatan dan kesihatan tetap diutamakan.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang bakal diadakan pada bila-bila masa, Fadillah menjelaskan bahawa AMANAH Sarawak kini bersiap sedia menggerakkan jentera di kawasan-kawasan yang akan ditandingi nanti.

“Saya serta pihak pimpinan negeri sudah pun mengatur dan merancang segala persiapan bagi menghadapi PRN12 yang berkemungkinan diadakan hujung tahun ini.

“Dengan perancangan dan persiapan rapi yang dijalankan sebelum ini, saya yakin bahawa parti AMANAH akan mampu meraih kemenangan di kerusi-kerusi DUN yang ditandingi kelak,” tegas beliau lagi.