Malaysia Dateline

Program Kampungku Sihat langkah KKM beri kesedaran usaha pencegahan penyakit

Dr Dzulkefly ketika majlis Program Kampung Ku Sihat dan Gotong Royong Mega 2.0 Perangi Aedes di Bagan, Butterworth pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif secara holistik dengan mengadakan Program Kampungku Sihat bersama dengan Program Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes sebagai salah satu usaha mencegah penyakit berjangkit dan tidak berjangkit di peringkat komuniti.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad ketika Program Kampungku Sihat Dan Gotong Royong Mega 2.0 Perangi Aedes di Butterworth pagi tadi.

Jelasnya, program tersebut merupakan satu langkah KKM memberikan penekanan kepada masyarakat tentang masalah kesihatan awam iaitu penyakit tidak berjangkit dengan penglibatan secara langsung pemimpin dan masyarakat dalam memberikan mesej kesihatan kepada orang awam.

Malah katanya, pengisian program ini dengan lawatan dari rumah ke rumah oleh pasukan perubatan dengan tujuan menyampaikan mesej kepentingan melakukan ujian saringan kesihatan bagi mengesan faktor risiko penyakit tidak berjangkit.

“Parlimen Bagan, Pulau Pinang merupakan destinasi ke tujuh bagi program ini selepas ia telah berjaya dilaksanakan di Langkawi, Kuala Selangor, Pagoh, Port Dickson, Temerloh dan Kuala Terengganu.

“Setakat ini sejumlah 79 buah kampung telah dilawati dengan sejumlah 3,547 penduduk dewasa telah disaring bagi faktor risiko NCD (Non Communicable Diseases) dan sejumlah 2,643 penduduk telah menjalani ujian saringan diabetes.

“Manakala itu, sebanyak 2,840 penduduk telah pun menjalani ujian saringan hipertensi,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, daripada jumlah tersebut 40 peratus adalah kes saringan hipertensi dan 65 peratus adalah kes saringan diabietes yang telah dikenal pasti berisiko menghadapi penyakit tersebut.

Sementara itu tambahnya, penyakit tidak berjangkit atau NCD dalam negara ketika ini masih menunjukkan peningkatan di sebalik promosi dan pendidikan kesihatan yang diberikan.

“Tinjauan kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2018 melaporkan 1 antara 2 rakyat Malaysia dewasa mengalami masalah kegemukan.

“Juga dinyatakan 1 antara 3 orang menghadapi hipertensi serta 1 antara 5 orang mempunyai diabetes.

“Sejumlah 50 peratus dari kes diabetes dan hipertensi adalah ‘undiagnosed’ dimana pesakit tidak tahu mereka berpenyakit, tidak mengambil sebarang rawatan dan lebih teruk lagi masih meneruskan amalan gaya hidup yang tidak sihat,” ujarnya.

Sehubungan itu kata beliau, program ini yang telah dilaksanakan sepanjang bulan September 2019 di seluruh negara juga melibatkan pelaksanaan di 14 buah negeri dan 140 buah daerah.

Katanya lagi, aktiviti pembersihan persekitaran ini merupakan tindakan bersepadu melalui Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi dan pelbagai agensi untuk bertsama-sama melakukan tindakan pencegahan dan kawalan bagi mengekang peningkatan wabak denggi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Bagan yang juga merupakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin serta pimpinan masyarakat.