Malaysia Dateline

Program karpet merah PN Sabah semasa PKP lagi bukti SOP hanya untuk rakyat

Ketika negara masih diselubungi kes jangkitan Covid-19 dengan Sabah antara negeri paling teruk terjejas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat selamba menganjurkan program yang berisiko tinggi.

Majlis perasmian pecah tanah projek pembinaan jambatan kekal Sungai Kopuakan di Kampung Togop Darat, Ranau, Sabah pada 6 Februari lalu berlangsung ketika negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program dihadiri sekurang-kurangnya 50 individu itu walaupun menyaksikan rata-ratanya memakai pelitup muka tetapi dilihat masih gagal mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Acara karpet merah itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bersekutu dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan dan negeri.

Majlis melibatkan Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu berlaku ketika negeri tersebut mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Tiada penjarakan fizikal ketika Joachim Gunsalam merasmikan pecah tanah di Kampung Togop Darat, Ranau.

Berdasarkan beberapa gambar tular di media sosial, dilihat wujud beberapa pelanggaran nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus dibimbangi mengundang risiko wujudnya kluster jangkitan baharu Covid-19 pada masa akan datang.

Antaranya, kegagalan mematuhi amalan pendekatan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah memberi amaran semua aktiviti majlis sosial dan keramaian, termasuk majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi, tidak dibenarkan di negeri terbabit PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dalam sidang medianya telah mengingatkan majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil dan sambutan ulang tahun serta hari lahir, turut dilarang.

Program karpet merah melibatkan pemimpin PN berlaku ketika Sabah menjadi negeri kedua paling ramai dijangkiti Covid-19.

Namun, majlis pecah tanah bagi projek jambatan konkrit bernilai RM11 juta antara Kampung Togop Laut dan Kampung Togop Darat itu tetap dibenarkan berlangsung oleh kerajaan.

Terdapat kira-kira 900 penduduk Kampung Togop Laut yang bakal menggunakan jambatan konkrit sepanjang 90 meter dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu.

Penduduk terbabit sebelum ini terpaksa menggunakan jambatan gantung apabila jambatan beraras rendah sedia ada akan ditenggelami air setiap kali hujan berlarutan serta banjir melanda.

Walaupun rakyat diingatkan tentang SOP dan norma baharu tetapi hal tersebut seperti tidak terpakai untuk ahli politik.