Program kayuhan polis bersama komuniti usaha kenal pasti masalah, cegah jenayah

Program kayuhan polis bersama komuniti usaha kenal pasti masalah, cegah jenayah

Pelbagai usaha direncanakan oleh pihak PDRM bagi menurunkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.

Ini termasuklah mengadakan kayuhan bersama komuniti ataupun (CYCOPS) yang melibatkan 60 anggota masyarakat dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

ACP Noorzainy Mohd Noor

Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor ketika ditemui hari ini.

Katanya, kayuhan komunti yang diadakan pada kali ini adalah yang pertama di Butterworth dan akan diteruskan sehingga ke kawasan lain termasuk Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

“Melalui program ini kita mendekatkan diri dengan masyarakat dan berhenti di beberapa buah lokasi bagi menemui masyarakat.

“Selain itu kita ingin mendapatkan pelbagai reaksi dan pandangan daripada masyarakat mengenai masalah setempat.

“Dengan cara ini ia bukan saja dapat merapatkan hubungan pihak polis dengan masyarakat, tetapi juga dapat mengenal pasti pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekitar kawasan yang dilawati,” ujarnya.

Malah tegasnya, program sebegini juga bagi menyatakan kepada masyarakat bahawa pihak polis senantiasa turun padang.

Loading...

“Di samping itu, aktiviti sebegini turut membuktikan bahawa pihak polis bukan saja beruniform tetapi juga membuat rondaan melalui pelbagai cara.

“Program setiap minggu ini diyakini dapat membantu untuk menurunkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.

“Yang penting ialah keselamatan masyarakat menjadi keutamaan agar tidak ada kejadian jenayah yang boleh mengganggu kehidupan seharian masyarakat sekitar, ” tambah beliau lagi.

Program kayuhan basikal sejauh 20 kilometer tersebut bermula dari Balai Polis Butterworth dan melalui beberapa lokasi seperti Jalan Bagan Luar, Jalan New Ferry, Jalan Chain Ferry, Jalan Taman Bagan serta berhenti di Shell Mak Mandin.

Ianya kemudian disambung semula untuk kayuhan melalui Jalan Bagan Lallang, Sungei Puyu, Lebuhraya BORR, susur keluar Pasar Awam Bagan Ajam sehinggalah ke Bagan Jermal, Kampung Gajah dan kembali ke Balai Polis Butterworth.