Malaysia Dateline

Program Kebajikan di Hospital Umum Sarawak terus dirancakkan

Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH)Hospital Umum Sarawak (HUS) berazam untuk mempergiatkan program kebajikan dari masa ke semasa.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, walaupun hanya ditubuhkan pada Mac 2019 lalu, namun ALPH telah berjaya melaksanakan program kebajikan dengan jayanya dan mendapat sambutan daripada masyarakat.

Untuk itu, katanya ALPH akan sentiasa mengadakan program dan aktiviti khususnya dalam mengajak masyarakat supaya mengenali fungsi dan peranan hospital terhadap orang awam.

“Walaupun ALPH Hospital Umum Sarawak ini baru sahaja ditubuhkan pada Mac 2019 namun ia tidak menghalang kami merangka program kebajikan.

“In shaa Allah… tahun 2020 ini kami akan merancakkan lagi program kebajikan untuk semua,” ujar beliau.

Hud Andri berkata, sebelum ini banyak aktiviti telah diadakan seperti Program “Sunathon Al-fateh” yang mensasarkan anak fakir miskin di sekitar Parlimen Kuching, Petrajaya,Stampin dan Kota Samarahan.

“Selain itu juga, kami turut mengadakan program rawatan kesihatan percuma dan Program Derma Darah di dua lokasi iaitu di Kuching Central dan di Maidin Petrajaya,” katanya.

Beliau menambah, ALPH juga tidak ketinggalan menyampaikan sedikit sumbangan wang ringgit kepada Unit Kebajikan Sosial HUS bagi melancarkan tugas-tugas kebajikan mereka.

Malah, tambahnya lagi, beliau sempat melawat sekolah dalam hospital yang terletak bersebelahan dengan blok Wad Pediatrik.

“Sekolah dalam hospital ini adalah satu-satunya sekolah di Sarawak yang hanya terdapat di Hospital Umum Kuching sahaja dengan tenaga pengajarnya seramai enam orang.

“Manakala guru guru Pendidikan Khas di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Murid-murid pula adalah terdiri daripada kalangan pesakit seramai 500 orang dan pengajian yang diajar termasuk kelas pra sekolah, rendah dan menengah,” jelasnya.