Malaysia Dateline

Program Kida bantu ibu golongan B40

Program Kasih Ibu Darulaman (KIDA) merupakan suatu program peduli rakyat yang amat baik dan menggembirakan para ibu khususnya golongan B40.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Salmee Said ketika diminta mengulas mengenai program KIDA semalam.

Jelasnya lagi, melalui program KIDA tersebut, mereka yang terlibat boleh membeli barangan keperluan di premis yang akan dikenal pasti tidak lama lagi.

“Selain dari program KIDA, kerajaan negeri Kedah juga memberi sumbangan ‘one off’ antara RM300 hingga RM1000 kepada para ibu dan wanita B40 di Kedah.

“Buat sumbangan berbentuk ‘one off’ ini, sebagai permulaan sejumlah RM500 ribu diperuntukan oleh kerajaan negeri dan akan ditambah selepas itu.

“Setidak-tidaknya dengan bantuan tersebut ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan terbabit, ” tegas beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi AMANAH Negeri Kedah.

Disamping itu katanya skim i-Suri yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat sebelum ini dapat membantu golongan wanita sekiranya apa jua kemungkinan berlaku terhadap mereka.

Sebelum ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali telah pun mengumumkan bahawa program KIDA membabitkan peruntukan sejumlah RM30 juta setahun.

Ia juga untuk membantu seramai 5,482 keluarga miskin di negeri Kedah.