Malaysia Dateline

Program Komuniti mampu eratkan perpaduan kaum di Sarawak

Program [email protected] Peringkat Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak mampu menjadi batu asas untuk menggeratkan perpaduan kaum di negeri ini.

Pegawai Penerangan Daerah Kuching,Magdellina Alfred Jeho berkata, melalui program yang dilaksanakan itu pihak jabatan kerajaan boleh berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat di samping mendapat maklum balas mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

Katanya, program ini dilihat mampu mengukuhkan lagi semangat patriotik bagi membina ketahanan nasional dan semangat jati diri dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, etnik di peringkat usia di negeri ini.

“Contoh yang kita lihat hari ini yang mana ia melibatkan bukan sahaja murid-murid sekolah dan pra sekolah, malah turut disertai guru-guru dan ibu bapa pelajar,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Sepakat @Komuniti Peringkat Komuniti di Sekolah Kebangsaan Landeh di Kuching di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Abdul Aziz Isa dan Guru Besar SK Landeh, Nur Sarah Stephen.

Menurut Magdellina, program berkenaan turut membantu dalam menyalurkan dasar -dasar kerajaan secara langsung kepada masyarakat menerusi penglibatan agensi dan jabatan kerajaan dalam sesi taklimat dan pameran.

Jelas beliau, untuk program yang diadakan di SK Landeh, dua jabatan kerajaan yang turut serta ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan.

Pada masa sama beliau merakamkan tahniah kepada seluruh warga SK Landeh di atas kejayaan sekolah tersebut memenangi anugerah Sekolah Keceriaan 2019 peringkat negeri sekali gus layak mewakili Sarawak ke peringkat nasional nanti.