Program masyarakat diteruskan di Dun Gedong

Program masyarakat diteruskan  di Dun Gedong
Simbolik Majlis Penyerahan di SK Abang Kadir Gedong,Simunjan.

AMANAH Cawangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Gedong akan terus mengadakan program sosial masyarakat bagi mendekati penduduk di kawasan berkenaan.Menurut Pengerusinya, Koswadi Abang, program dan aktiviti yang diadakan itu bertujuan untuk mendekati penduduk sekaligus memberi penerangan berkaitan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Persektuan di negeri ini.

Katanya, ramai penduduk dan masyarakat di kawasan Gedong belum mengetahui beberapa inisiatif yang disediakan kerajaan seperti PeKaB40,MySalam dan i-Suri.

“In shaa Allah… tahun hadapan nanti kita akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan sosial masyarakat bagi mendekati penduduk di kawasan ini.

“Tujuannya ialah supaya rakyat tahu berkenaan inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH), kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian bantuan awal persekolahan ‘Back To School 2020’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong,Simunjan semalam.

Jelasnya, seramai 400 murid-murid di sekitar kawasan Gedong telah menerima bantuan awal persekolahan yang disumbangkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

“Dengan adanya program bantuan awal persekolahan seperti ini akan dapat meringankan beban kepada masyarakat dan penduduk di sekitar Gedong ini.

“Ini kerana, kalau dilihat kepada sumber penduduk di sini, adalah diakui rata-ratanya merupakan golongan petani yang tidak tetap pendapatan mereka,” tegas Koswadi.

Hadir menyampaikan bantuan awal persekolahan semalam ialah Pengerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus,Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa, Ismail Yahaya,Guru Besar SK Abang Kadir Saimah Chek dan Pengerusi NGO Amal Relief, Hud Andri Zulkarnaen.

Abang Ahmad Kerdee turut menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM10,000 kepada pihak sekolah bagi mengadakan program dan aktiviti di sekolah terbabit.

Selain kawasan Gedong, Yayasan Taqwa turut menyampaikan sumbangan awal persekolahan di kawasan Santubong dan Tanjung Manis.