Program Medic Camp tanpa mengira sokongan terhadap  parti dapat sambutan penduduk Jeram

Program Medic Camp tanpa mengira sokongan terhadap parti dapat sambutan penduduk Jeram

Penyelaras Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad antara bekas wakil rakyat di Parlimen itu yang masih lagi aktif mendekati penduduk di sekitar Kuala Selangor yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu N10 Bukit Melawati, N11 Jeram dan N12 Ijok.

Beliau pernah sepenggal menduduki kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya umum ke 12 tidak menghalangnya untuk mendekati rakyat disetiap Dun walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat.

Berkesempatan mengikuti Program Medic Camp yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampong Bukit Kuching Tengah di bawah Dun Jeram yang terletak 19km dari Pekan Kuala Selangor itu, menyerlahkan kemesraan beliau dengan penduduk setempat walaupun terdapat perbezaan sokongan terhadap parti.

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Stategi AMANAH berkata, program Medic Camp ini adalah kali ke lima diadakan, satu program popular yang mendapat sambutan penduduk.

“Daripada pengalaman kita adakan Medic Camp sambutannya amat baik kerana ia melibatkan lima buah kampong sekitar.

“Saya gemar melakukan khidmat sebegini, selain berkunjung dari rumah ke rumah penduduk.

“Bila kita mendekati mereka, akan dapat lihat keadaan sebenar sebuah keluarga itu sama ada dia seorang ibu tunggal, orang kurang upaya,warga emas atau pun keluarga miskin yang memerlukan bantuan kita,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika mengikuti program yang dianjurkannya bersama Pakatan Harapan Kuala Selangor pada 25 Februari lalu.

Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) sedang menyantuni penduduk kampong yang datang ke program Medic Camp yang dianjurkannya bersama Pakatan Harapan.

Medic Camp yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampong Bukit Kuching Tengah yang diadakan itu, dihadiri lebih daripada 300 penduduk pelbagai peringkat usia sejak dari awal pagi sudah berbaris menunggu giliran mereka.

Sebanyak 10 kaunter dibuka untuk pemeriksaan yang diwakili seramai 10 pakar perubatan pelbagai penyakit daripada sebuah pertubuhan yang memberikan khidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma, dinamakan sebagai Pertubuhan Perubatan dan Kesihatan Awam (Maco).

Maco menjalankan pemeriksaan kesihatan antaranya seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula, pemeriksaan mata, pemeriksaan payu dara dan pepsmear.

Dikalangan farmasi sukarelawan dari Maco yang sedang sibuk mengatur ubat-ubatan untuk diserahkan kepada penduduk yang memerlukan dalam program Medic Camp.

Selain Maco beberapa NGO turut bekerjasama menjayakan program ini seperti Ketua-ketua Kampong, M’bah Club dan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Datuk Maharaja Lela (Perbekas SKDML).

Di Mukim Jeram terdapat 10 buah kampong yang mana Kampong Bukit Kuching Tengah, Kampong Bukit Kuching Hilir, Bukit Hijau dan Parit Mahang berada di bawah Dun Jeram.

Jumlah pengundi di Dun Jeram sehingga suku tahun kedua 2017 dari Senarai Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 33,244 pengundi.

Saharuddin Zamzam

Ketua Kampong Bukit Kuching Tengah Saharuddin Zamzam,55, amat menyokong usaha yang dilakukan oleh Dr Dzulkefly membabitkan lima kampong sekitar Dun Jeram ini.

Saharuddin sudah 10 tahun dilantik ketua kampong berkata, dalam suasana menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sudah tiba masanya pemimpin politik menggerakkan usaha lebih kerap mendekati pengundi.

Bagaimana pun beliau berkata, ia agak berbeza dengan cara Dr Dzulkefly menyantuni pengundi dan penduduk di Dun Jeram ini.

“Walaupun beliau bukan lagi wakil rakyat tetapi beliau kerap turun ke kawasan ini.

“Jika saya nak kata pemimpin di kawasan ini dari Umno (Adun Jeram- Datuk Amiruddin Setro) ada juga mendekati penduduk.

“Tapi Dr Dzulkefly dan Pakatan Harapan mereka terbuka kepada semua penyokong parti.

“Mereka yang datang dalam program Medic Camp ini terdiri dikalangan penyokong Pakatan Harapan dan Umno-BN. Inilah yang kita mahukan daripada seorang pemimpin,” ujarnya.

Memeriksa tekanan darah antara salah satu pemeriksaan kesihatan yang disediakan di kalangan pakar perubatan dari Maco

Justeru katanya kebanyakan harapan pengundi di Jeram ini mahukan pemimpin yang lebih baik dan perubahan kepimpinan di Dun Jeram dan Parlimen Kuala Selangor.

“Ibarat kata orang tak baik kita kena cari yang baik. Jika dapat yang baik kita cari lagi yang terbaik, beliau (Adun Jeram-BN) dia seorang yang baik, lagipun sudah dua penggal.

“Jika boleh, kita ubahlah kali ini,” ujarnya yang tidak setuju jika seseorang pemimpin politik itu kekal lebih daripada dua penggal berkhidmat di Dun mahupun Parlimen.

Muhamad Subali

Presiden M’bah Club Muhamad Subali,50, pula berkata, sebagai sebuah pertubuhan turut menyertai pelbagai program dianjurkan parti politik di kawasan itu.

“Sebagai NGO kita tidak mengira parti jika ada sebarang aktiviti dilakukan di sini kita akan bekerjasama untuk mengawal lalulintas dan keselamatan seperti dalam program dianjurkan oleh Dr DZulkefly ini.

“Kami mesra kepada semua pimpinan politik di kawasan ini kerana di Jeram terdapat sekitar 21 pertubuhan dan ia sedikit pun tidak menghalang untuk kami bersatu dalam mana-mana program yang dianjurkan oleh pemimpin atau mana-mana parti politik,” ujarnya yang memberitahu keahlian M’bah Club yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu sudah mempunyai 150 ahli dikalangan anak jati Jeram.

Juru Optik dari Maco yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Tan berkata, tugas beliau dan rakan-rakan perubatan yang lain memberikan konsultansi (khidmat nasihat) kepada penduduk adalah kerja sukarelawan yang tidak mengharapkan balasan.

“Katanya kadangkala ramai yang kurang memahami masalah yang dihadapi, dan seorang tenaga kerja sukarela seperti kami perlu banyak bersabar dan berkorban tenaga, wang dan keperihatinan untuk bersama dengan pimpinan politik dan masyarakat setempat,” ujarnya yang memiliki sebuah Klinik Optometris di Bangsar dan banyak menjalankan kerja amalnya sendiri membabitkan rumah orang tua dan rumah anak yatim jika tidak terbabit dengan aktiviti bersama Maco.

“Saya berasal dari keluarga miskin.Jika ada sedikit kelebihan dan kepakaran tidak salah untuk melakukan kerja sukarelawan ini untuk membantu rakyat miskin dan yang memerlukan…ini bukan soal parti tetapi soal membantu rakyat.

“Konsultansi diberikan kepada penduduk oleh semua doktor pakar di sini dilakukan dari hati mereka,” ujarnya yang telah menjalani pembedahan jantung sebulan lalu, tetapi sanggup hadir ke program Medic Camp semata-mata cintanya kepada kerja sukarelawan dan ingin bersama-sama meringankan beban kesihatan rakyat melalui gerak kerja Maco dilapangan.

Lebih daripada 60 jenis ubat-ubatan turut disediakan untuk keperluan pesakit yang sebahagiannya di sumbangkan oleh Maco dan doktor pakar terbabit secara sukarela.

Mr Tan adalah salah seorang konsultan  dalam bidang optometrist  yang berkhidmat secara sukarela dalam program Medic Camp ini.

Bagi penduduk seperti Mat Hassan Kechik,65, yang menghidapi kencing manis sejak tiga tahun lalu ketika ditanya tentang program Medic camp, berpendapat sebagai usaha yang baik untuk penduduk setempat.

“Ada program sebegini sangat bagus untuk penduduk di sini.Saya sudah tiga kali sertai program Medic Camp ini,” ujarnya yang berasal dari Bukit Bruang, Melaka, telah berhijrah di Kuala Parit, Jalan Merak di Jeram ini, sejak 40 tahun lalu selepas berkahwin dengan penduduk tempatan di sini.

(dari kiri) Mat Hassan Kechik dan Rabiah Sirat

Bagi Rabiah Sirat,62, selepas menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan dilakukan di kalangan doktor pakar dari Maco beliau memuji usaha dilakukan pimpinan politik seperti Dr Dzulkefly.

“Usaha yang bagus. Saya kadangkala malas nak ke Klinik Kesihatan yang jauh dari rumah. Kebetulan ada program sebegini saya ambil peluang untuk buat pemeriksaan kesihatan,” ujar ibu tunggal daripada lima anak ini.

Rabiah turut berkata, beliau mendapat tahu adanya program di dewan orang ramai itu setelah diberitahu oleh jirannya.

Ditanya mengenai bantuan yang disediakan selain daripada memberikan rawatan percuma, beliau menyarankan agar bakal wakil rakyat memperbanyakan bantuan kepada ibu tunggal.

“Di kampong sini ramai ibu tunggal. Saya hanya dapat bantuan pusat zakat dan kad peduli sihat,” dakwanya.

Ditanya sama ada beliau mengenali Dr Dzulkefly, Rabiah berkata,”kenal” sambil menyebut beberapa nama wakil rakyat dari Barisan Nasional(BN).

“Saya tak kiralah siapapun mereka, saya harap mereka dapat berkhidmat untuk rakyat, kalau mereka menang pilihan raya saya mahu program-program sebegini diadakan selalu,” ujarnya yang mahu keperihatinan wakil rakyat tidak mengira parti kepada penduduk tidak bermusim hanya apabila hampir pilihan raya sahaja.

Baca: Faktor etnik, calon tempatan diutamakan tandingi parti lawan

Sebahagian daripada 300 penduduk yang telah mendapat rawatan daripada aktiviti kemasyarakat yang dijalankan oleh Penyelaras Parlimen Kuala Selangor bersama Pakatan Harapan.

 

 

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS