Malaysia Dateline

Program Muhyiddin-Azmin di Gombak langgar SOP cegah Covid-19?

Mahiaddin dan Azmin solat Isyak dan tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak.

Program dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak kelmarin dilihat bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19.

Menerusi gambar yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin di Facebooknya, pemimpin dan jemaah terbabit tidak menjaga jarak fizikal seperti kerap ditekankan Kementerian Kesihatan.

“Gombak merupakan destinasi pertama YAB Perdana Menteri untuk mengimarahkan madrasah Ramadhan pada tahun ini.

“Syukur majlis yang diaturkan semalam (kelmarin) berjalan dalam suasana yang teratur dan patuhi SOP yang ditetapkan,” tulis Afif yang menyertai Bersatu, Jun tahun lalu selepas dipecat PKR.

Sementara itu, dalam satu gambar lain dalam majlis sama yang tersebar di Twitter menunjukkan orang ramai berkerumun menghadap sebuah meja makan bulat beralaskan kain songket.

Turut kelihatan dalam majlis yang difahamkan moreh selepas solat tarawih itu ialah Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Pengarah Pilihan Raya PN.

Ahli Parlimen Gombak tersebut yang berkopiah dan berbaju Melayu berwarna putih dan berkain pelikat itu dilihat duduk bersama tujuh individu lain termasuk warga emas.

Moreh di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak kelmarin.