Program Mutiara Food Bank bantu ringankan beban penghuni rumah pangsa Taman Ampang Jajar

Program Mutiara Food Bank bantu ringankan beban penghuni rumah pangsa Taman Ampang Jajar

Bagi merealisasikan program ‘Mutiara Food Bank’ sepertimana yang disarankan kerajaan, PKR Cabang Bagan menyahut seruan tersebut dengan mendapatkan sokongan daripada pasaraya Tesco untuk diagihkan makanan bagi masyarakat setempat.

Perasmian Food Bank oleh Ketua PKR Cabang Bagan, Alan Oh kelmarin.

Hasil usaha bersungguh-sungguh jawatankuasa cabang tersebut, ianya telah berjaya menjadi kenyataan apabila sebahagian besar penduduk Rumah Pangsa Taman Ampang Jajar, Mak Mandin, berjaya mendapatkan makanan berupa roti, sayur-sayuran dan juga buah-buahan secara percuma.

Malah kesemua makanan tersebut telah pun dibungkus rapi dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan di bahagian bawah rumah pangsa tersebut.

Menurut Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, penduduk kawasan perumahan tersebut menjadi pilihan pertama kerana majoriti penduduk kawasan tersebut adalah mereka yang merupakan golongan B40.

“Melalui program Mutiara Food Bank yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, kini ianya telah terbukti amat berfaedah kepada masyarakat.

“Semua penduduk kawasan perumahan ini turut dimaklumkan mengenai agihan dan penyediaan bahan makanan tersebut.

“Terbukti dan jelas program ini banyak membantu dan menjimatkan kos perbelanjaan setiap keluarga khususnya yang berpendapatan rendah,” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, selepas kejayaan program sebegini ia akan diteruskan ke kawasan-kawasan yang lain.

Loading...

“Kita bukan sahaja mensasarkan golongan B40 tetapi juga mereka yang miskin dan mempunyai anak yang ramai.

“Makanan yang disediakan oleh pihak penyumbang ternyata masih elok dan dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

“Usaha yang diambil ini bagi menyahut seruan kerajaan agar golongan yang memerlukan diberi lebih perhatian supaya mereka dapat sama menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan melalui bermacam program kerajaan,” tegasnya lagi.