Malaysia Dateline

Program MYC2C dedah pelajar asas perundangan

Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, program ‘Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C)’ mendedahkan seawal mungkin kepada pelajar tentang asas perundangan.

Menurut Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu, program tersebut merupakan legasi bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

“Program yang pertama dahulu ia diadakan di sebuah sekolah menengah di Putrajaya di mana saya diminta untuk merasmikannya.

“Dalam ilmu perundangan Barat, ada satu “legal maxim” dalam bahasa latin yang berbunyi “ignorantia juris non excusat” (ignorance of law is not excusable) dan juga maxim yang berbunyi “ignorantia iuris nocet” (not knowing the law is hurtful)…”

“Saya sedar di Kelantan ini ramai dari kita yang mungkin biasa dengan perundangan Islam.

“Saya ingin katakan di sini bahawa hatta dalam perundangan Islam, doktrin ‘jahil tentang undang-undang yang tidak boleh dimaafkan’ juga wujud,” ujarnya ketika berucap di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu hari ini.

Jelasnya, doktrin tersebut diabadikan dalam satu frasa yang berbunyi معلوم من الدين بالضرورة (ma’lum min al-deen bi-dhoruratin) yang mudahnya ‘kena tahu prinsip-prinsip atau hukum-hukum tertentu dalam Islam secara perlu.’

“Melalui doktrin tersebut tiada alasan jika orang Islam itu tidak tahu beberapa hukum asas Islam seperti wajibnya solat dan puasa atau haramnya zina, riba dan lain-lain.

“Ada seorang ulama’ berkata yang lebih kurang bermaksud “Sesungguhnya keimanan kepada kewajipan perkara-perkara yang wajib yang jelas dan mutawatir dan pengharaman perkara-perkara yang haram yang jelas dan mutawatir adalah prinsip utama dalam asas keimanan dan tiang seri agama itu,” katanya.

Sehubungan itu, Hanipa mengingatkan banyak prinsip dalam perundangan Barat hakikatnya telah diceduk dari perundangan atau jurispruden Islam.

“Seorang pakar perundangan Barat dari Sri Lanka yang pernah menjawat jawatan hakim di mahkamah antarabangsa pernah mengakui hal ini.

“Sebagai contoh kewujudan ‘fictious man’ dalam perundangan Barat yang dikenali sebagai “John Doe” (L) atau “Jane Doe” (P).

“Ianya sama seperti dalam kitab-kitab fiqah karangan “the muslim jurists” iaitu kewujudan “fictitious man” yang bernama “zaid” ( زيد ),” tambahnya lagi.

Program MYC2C turut menyaksikan kehadiran Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Azahar Mohamed dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.