Program ‘Peduli Kepala Batas’ bantu golongan asnaf

Program ‘Peduli Kepala Batas’  bantu golongan asnaf
Ketua AMANAH kawasan Kepalas Batas, Ramli Omar (Kanan sekali) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang kurang bernasib baik.

AMANAH kawasan Kepala Batas tetap meneruskan agenda ‘Peduli Kepala Batas’ dengan menjejaki golongan asnaf yang memerlukan, kata Ketuanya, Ramli Omar.

Jelas beliau lagi, program ‘Peduli Kepala Batas’ memberi tumpuan terhadap kawasan Parlimen Kepala Batas secara keseluruhannya.

Ramli Omar

“Kita telah pun menziarahi dan mengunjungi beberapa buah keluarga yang telah dikenal pasti perlu dibantu dan disokong bagi meringankan beban hidup mereka.

“Sehubungan itu keluarga yang daif dan memerlukan dokongan diberi pencerahan untuk membantu mereka melalui pelbagai cara yang ada.

“Setelah berbincang dan mendekati keluarga tersebut maka alternatif dicari untuk mengeluarkan mereka dari kemelut yang sedang mereka tempuhi sejak sekian lama,” ujar beliau.

Malah ujarnya lagi, kunjungan juga menemui keluarga orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan mereka yang uzur.

“Secara tidak langsung kita bukan sahaja mendekati mereka, sebaliknya cuba untuk meringankan beban yang mereka tanggung.

“Melalui beberapa agensi dan kaedah yang ada, maka solusi dicari supaya pelbagai masalah masyarakat dapat dibantu dengan seberapa segera yang boleh.

“Yang pasti, turun padang melalui program ‘Peduli Kepala Batas’ terbukti berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan masyarakat setempat, ” tegasnya lagi.

Tambah beliau, AMANAH kawasan Kepala Batas akan tetap memberi pembelaan dan perhatian yang serius terhadap masalah masyarakat walaupun kawasan Parlimen tersebut dimenangi oleh pembangkang