Program penempatan semula Pati kurang dapat sokongan majikan, kata MTUC

Program penempatan semula Pati kurang dapat sokongan majikan, kata MTUC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) susulan penangguhan pengambilan pekerja asing dari negara sumber kurang mendapat sambutan majikan, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),

Setiausaha Agungnya  N. Gopal Krishnam berkata pihaknya menyokong inisiatif kerajaan memberi peluang kepada Pati di negara ini diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi keperluan di sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Namun, menurutnya majikan dilihat kurang berminat menyertai program itu yang telah dilaksanakan secara dalam talian mulai 15 Februari lalu.

“Saya difahamkan terdapat majikan kurang berminat menyertai program … ini kerana mereka (majikan) berpendapat Pati yang tinggal lama dan faham dengan persekitaran ekonomi dan sosial negara ini mula ‘demand’ tentang gaji,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata majikan yang memerlukan tenaga kerja asing perlu mempertimbangkan untuk berdaftar dalam program itu untuk memberi peluang kepada Pati mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan yang tidak diminati rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Gopal berkata tindakan Jabatan Imigresen melaksanakan penguatkuasaan menerusi Op Hari Hari Operasi dilihat sebagai kurang tepat dan tidak adil kepada majikan dan Pati yang dalam tempoh mendaftar bagi program penggajian dan penempatan semula itu.

“Kerajaan melaksanakan program rehiring Pati tetapi pada masa sama mereka (Jabatan Imigresen) hari-hari menjalankan operasi menangkap Pati. Tindakan ini dilihat seperti tidak seiring dengan pelaksanaan program rehiring ini,” katanya

Setakat malam semalam, Imigresen telah memeriksa 2,125 warga asing dan daripada jumlah itu sebanyak 971 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar ibu negara.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan berkata setakat ini program itu dilihat dipandang dingin apabila hanya 1,000 majikan menyertai program itu bagi memohon 8,418 pekerja asing.

“Dianggarkan Pati mencecah sehingga empat juta orang tetapi hanya lebih 8,000 yang dimohon. Kos minimum sebanyak RM1,200 (RM800 caj pendaftaran dan RM400 caj perkhidmatan) serta kos lain yang perlu ditanggung majikan antara kekangan yang menjadikan program itu mungkin tidak mencapai matlamat,” katanya.

Shamsuddin berharap pihak Imigresen dapat mempertimbangkan semula kos yang dikenakan kepada majikan dan Pati.

“Mungkin caj pendaftaran boleh diberikan secara percuma,” katanya

TAGS