Malaysia Dateline

Program Sarapan Pagi bermula 20 Januari depan melibatkan 100 sekolah

Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Januari depan melibatkan 100 sekolah di seluruh negara.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), pelaksanaan PSP fasa pertama itu akan menggunakan menu yang berkonsepkan Grab ‘n’ Go.

“Menu Grab ‘n’ Go itu terdiri daripada minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara pukul 7 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan 1 hingga 4 petang, bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan pihak sekolah.

“Program ini melibatkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta,” kata kenyataan itu.

Menurut KPM lagi, pemilihan sekolah bagi fasa pertama dilaksanakan berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratusan murid golongan B40 yang tertinggi.

“KPM turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

“KPM juga sedang merancang supaya program ini diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara dan ini adalah bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah,” kata kenyataan itu lagi.

PSP di sekolah rendah adalah inisiatif terbaharu KPM untuk menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.