Malaysia Dateline

Program Sarapan Pagi murid perlu diteruskan bantu ringankan beban isi rumah B40

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan semula keputusan menamatkan program sarapan pagi (PSP) percuma murid sekolah.

AJK Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional Syazmir Hariz Noorazlan berkata, keputusan itu sepatutnya tidak berlaku kerana situasi semasa dilihat sangat menekan ibubapa sebagai isi rumah yang perlu menyediakan keperluan makanan untuk ahli keluarga disebabkan oleh impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemic Caovid-19 yang melanda.

Tambahan pula katanya, tekanan itu lebih berat apabila barang-barang makanan seperti sayur, ayam dan roti kini telah naik dengan mendadak sekali.

“Ia telah menjadikan kos sara hidup isi rumah meningkat dan memberi kesan kepada keluarga B40.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa PSP mampu membantu meringankan isi rumah yang terbeban akibat impak pandemik dan kenaikan harga barang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KPM perlu melihat bahawa keperluan Pendidikan bukan sahaja dalam bilik darjah semata-mata, tetapi lebih penting adalah keperluan sokongan seperti meringakan beban murid ke sekolah menjadi faktor Pendidikan itu berjalan dengan berkesan.

“Saya menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa PSP boleh menyebabkan ketirisan dan wajar dibatalkan.

“Hujah mereka program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lebih berkesan apabila murid yang benar-benar memerlukan seperti B40 akan diberikan makanan percuma, berbanding PSP.

“Soalnya, adakah data mruid yang layak mendapat RMT itu telah dikemaskini setelah pandemik dan PKP melanda? Sedangkan selepas pandemik dan PKP, lebih ramai keluarga yang jatuh ke B40.

“Maka saya lihat hujah sebuah persatuan komuniti ibubapa tidak relevan buat masa ini sedang ramai keluarga bertarung untuk mendapatkan sumber pendapatan,” kata beliau.

Terdahulu, KPM dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) di Dewan Rakyat memaklumkan akan menamatkan PSP pada tahun depan

PSP diperkenalkan pada 2019 ketika Maszlee menteri pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Program itu mula dilaksanakan pada awal tahun lalu.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 30 September lalu, Maszlee berkata mengikut kajian pada 2019 pelaksanaan program PSP dijangka akan memberi manfaatkan kepada hampir 2.7 juta murid bagi tempoh 200 hari setahun.