Program sukarelawan mampu tarik mahasiswa kenal AMANAH

Program sukarelawan mampu tarik mahasiswa kenal AMANAH

Persaingan dalam parti semata-mata untuk menentukan siapa paling Melayu dan siapa paling Islam dilihat tidak akan membawa kepada pencapaian pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Sebaliknya, program kesukarelawanan yang ditawarkan terutamanya kepada Mahasiswa merupakan strategi terbaik menjaga kepentingan masyarakat sekali gus menarik golongan muda mengenali dan menyertai AMANAH.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keberkesanan program kesukarelawanan terbukti mampu menarik perhatian mahasiswa yang sudah terdedah sebagai aktivis sejak di Universiti.

“Dalam konteks politik, jika hendak menentukan siapa lebih Melayu dan Islam, pembangunan masyarakat kita tak akan kemana-mana. Tapi apa yang boleh dibuktikan dan ditawarkan kepada golongan muda terutama mahasiswa adalah keberkesanan kerja kesukarelawanan.

“Saya juga dari aktivis mahasiswa. Kesukarelawanan sememangnya mendapat tempat paling penting kerana dunia aktivisme datang dari sejarah pergerakan mahasiswa yang besar.

“Mahasiswa yang masuk ke Universiti kebanyakannya didedahkan dengan pergerakan yang diterajui senior mereka. Secara tak langsung, mereka mahu menempatkan diri dalam sebahagian dari lipatan sejarah dalam kampus. Saya berpendapat Pemuda AMANAH perlu dekati mahasiswa dengan program kesukarelawanan untuk menarik hati dan perhatian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pemuda Bekerja, di SkryArk Taman Wahyu, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang juga salah seorang calon dari Pemuda Bekerja berkata, AMANAH sudah perlu melakukan gerak kerja yang bersifat turun ke bawah tanpa memikir untuk bertanding semata-mata.

Menurutnya, posisi kepimpinan pemuda dalam kerajaan dilihat memainkan peranan penting untuk menyampaikan mesej kerajaan itu sendiri kepada rakyat.

“AMANAH perlu jadi parti yang menjalar di kampung-kampung dan mendengar suara hati rakyat di bawah yang memerlukan perhatian dan bantuan dari kerajaan.

“Kita percaya pemuda berkualiti mampu menjadi penghubung kepada rakyat yang mampu menyampaikan mesej parti dan kerajaan kepada rakyat. Sebab itu penting kita letak kepimpinan pemuda dalam posisi kerajaan berdasarkan merit dan kelayakan,” katanya.

Tidak akan ada permusuhan dan perpecahan

Sementara itu, ditanya kemungkinan persaingan tersebut mewujudkan suasana permusuhan antara dua lagi pasukan iaitu Pemuda Bangkit dan Pemuda Wibawa dalam AMANAH, Shazni berkata, perkara yang utama adalah berlumba untuk memberikan yang terbaik.

Tambah Pengarah Mobilisasi Pemuda PH itu, beliau menganggap persaingan tersebut bukan sebagai satu lambang perpecahan seperti yang dirisaukan sesetengah pihak.

“Saya berbalik kepada realiti. Setiap apa yang kita buat terkait pada niat. Punca perpecahan apabila kita bersaing membunuh politik lawan. Niat yang paling asas adalah apabila kita bersaing, kita berlumba berikan terbaik untuk orang ramai.

“Pemuda Bekerja adalah pasukan yang menuju kepada pemilihan parti. Habis pemilihan, yang ada hanyalah Pemuda AMANAH,” ujarnya.