Malaysia Dateline

Program Sukarelawan Selangor dilancar, bantu komuniti peroleh kesedaran tentang kesihatan

Selangor hari ini melancarkan program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi membantu komuniti di negeri itu mendapat kesedaran tentang penjagaan kesihatan awam, susulan ledakan kes positif Covid-19 sejak beberapa bulan yang lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pandemik Covid-19 memberi kesedaran bahawa langkah untuk ‘mencegah daripada merawat’ adalah lebih penting untuk masyarakat memasuki ke fasa endemik.

Justeru menurutnya, 1,000 sukarelawan SUKA yang telah dilantik akan bertindak sebagai pemangkin untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penjagaan kesihatan awam dan membantu komuniti memahami soal kesihatan dengan lebih baik.

“SUKA dibentuk bertujuan menjadi sebagai pemangkin tetapi mereka bukan doktor atau nurse. Mereka adalah pemangkin kepada masyarakat untuk memberi kesedaran tentang langkah-langkah tertentu, bagi membendung penyakit berjangkit sebab kita nak memasuki fasa endemik.

“Ini merupakan perancangan jangka panjang yang bukan sahaja menangani dengan ubat bius. Rancangan jangka panjang untuk menjamin kesihatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Ini langkah besar kita. Kita ingin menggerakkan pendekatan ‘masyarakat secara keseluruhan’. Jadi, sukarelawan SUKA ini akan memberi motivasi dan memangkin kesedaran rakyat tentang sesuatu perkara. Mereka telah diberi taklimat dan menjalani latihan,” katanya ketika merasmikan program SUKA, di Selayang hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengerusi Covid-19 Task Force, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; dan Ahli Parlimen Selayang,William Leong Je.

Pada masa sama Amirudin berkata, pelancaran sukarelawan kesihatan itu dilakukan setelah hospital-hospital di Selangor menerima ratusan kes Covid-19 sehingga tidak cukup kapasiti menempatkan pesakit.

Malah katanya, isu denggi juga menjadi salah satu pertimbangan yang mendorong kerajaan negeri menubuhkan program sukarelawan.

“Sebenarnya, kita turut mengalami masalah denggi. Ini soal kesihatan awam yang mana ia memberi penekanan terhadap pengurusan sikap. Bagaimana kita bertindak untuk mengelakkan penyakit berjangkit itu dari menjangkiti kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Siti Mariah dalam ucapannya pula memaklumkan, ketika ini seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun mempunyai SUKA masing-masing dan beberapa DUN sedang menjalani latihan kesihatan awam.

“SUKA diluluskan bulan JUN. Baru empat bulan dilancarkan dan sudah lengkap. Semua DUN sudah ada koordinatir dan aktivis yang berminat mengenai kesihatan ini,” ujarnya.