Malaysia Dateline

Program Sunathon di Hospital Umum Sarawak dijadikan kalender tahunan

Program Sunathon Al-Fateh anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Umum Sarawak (HUS) akan menjadi kalender tahunan aktiviti berkenaan dilangsungkan.

Timbalan ALPH, Hud Andri Zulkarnaen berkata Program Sunathon merupakan langkah pertama untuk pihaknya berperanan untuk menjadikan HUS sebagai sebuah hospital kebajikan tanpa sempadan.

Untuk itu, jelas beliau ALPH akan merangka dan melaksanakan Program Sunathon dengan berskala besar di samping penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO)lain pada tahun hadapan.

“In shaa Allah…program ini akan diisi dalam kalender tahunan dan bakal dilaksanakan dalam berskala besar.

“Justeru, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami untuk menjadikan HUS adalah hospital kebajikan tanpa sempadan,” jelas Hud Andri ketika berucap pada Majlis Program Sunathon Al-Fateh di HUS Kuching hari ini.

Menurutnya, pada program yang julung kali diadakan itu seramai 30 kanak-kanak dari keluarga asnaf telah dikhatankan di wad pembedahan HUS.

“Program ini telah mensasarkan anak-anak dari keluarga golongan asnaf di sekitar Parlimen Kuching, Petrajaya, Kota Samarahan dan Sadong Jaya,’ ujarnya lagi.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bagi pihak ALPH kepada Jabatan Sosial HUS bagi menggerakkan kerja-kerja sosial mereka.

Turut hadir ialah Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing, Ketua Jabatan Pembedahan Dr Nik Azim serta pegawai dan kakitangan HUS.