Malaysia Dateline

Program wakaf naskhah al-Quran dibimbangi ada unsur ‘bisnes agama’

Menjelang Ramadan, program wakaf naskhah al-Quran dilihat semakin meriah. Namun, dibimbangi program itu sekadar topeng melindungi ‘bisnes agama’.

Ikuti pendapat Ustaz Zolkharnain Abidin berkenaan isu ini:

Maafkan saya sekiranya saya curiga dengan program wakaf naskhah al-Quran yang dibuat oleh pelbagai pihak seperti yang melintas di dinding FB setiap hari.

Semakin hampir Ramadhan, semakin meriah pula promosi program itu dengan pelbagai tawaran sampingan seperti pewakaf diberi hadiah dan sebagainya.

Ada penganjur wakaf yang meletak nilai wakaf senaskhah al-Quran sebanyak RM350 untuk satu nama.

Sebahagian penganjur yang lain menawarkan nilai wakaf mengikut bilangan pewakaf yang ditetapkan untuk setiap naskhah al-Quran.

Misalnya, satu nama RM20 dan setiap naskhah ditetapkan 20 nama. Maknanya, senaskhah al-Quran itu bernilai RM400

Untuk menzahirkan “kelebihan” program wakaf ini yang diharap mendapat pahala berlipat ganda, nama pewakaf akan ditampal di dalam naskhah al-Quran berkaitan.

Kadang-kadang tercatat nama pewakaf sendiri atau nama pihak yang diniatkan misalnya ibu bapa yang sudah meninggal dunia atau sebagainya.

Kemudian, diuar-uarkan naskhah al-Quran wakaf tadi disumbang kepada sekolah tahfiz atau kelas-kelas pengajian al-Quran.

Sebenarnya, saya tercium bau bisnes naskhah al-Quran atas nama wakaf. Atau dalam istilah lain, menjual jenama wakaf untuk buat duit atas angin melalui naskhah al-Quran.

Misalnya, jika harga sebenar naskhah al-Quran di pasaran ialah RM150 – setakat yang saya tahu, versi dalam harga ini pun sudah cukup cantik dan berkualiti – jika kadar wakafnya ialah RM350 senaskhah, maka penganjur mendapat hasil lebihan sebanyak RM200

Bayangkan jika kutipan wakaf mencapai 1,000 naskhah, maknanya sudah terkumpul hasil lebihan sebanyak RM200,000. Banyak tu!

Dengan sentimen al-Quran, wakaf, bulan Ramadhan bulan kebajikan, saya fikir, projek wakaf ini bukan beroleh 1,000 naskhah, mungkin jumlahnya berlipat kali ganda.

Saya sedang berfikir:

i. Betulkah setiap naskhah al-Quran yang diuar-uarkan wakaf itu berharga sehingga ratusan ringgit?

iii. Jika tidak diambil kadar tertentu atas wakaf tadi, dari sumber manakah pengurusan wakaf naskhah al-Quran beroleh dana untuk menguruskan wakaf?

ii. Luluskah dari sudut syarak duit yang diterima atas nama wakaf diambil kadar tertentu oleh pihak pengurusan wakaf tadi?

iv. Adakah masyarakat Islam (dan bukan Islam) dalam negara ini terlalu memerlukan naskhah al-Quran sehingga projek sebegini perlu dibuat?

v. Apa perlunya disumbang wakaf al-Quran itu kepada pusat tahfiz kerana biasanya anak-anak tahfiz sudah ada naskhah al-Quran peribadi masing-masing?

Saya tidak menuduh program ini dengan sebarang tuduhan negatif, cuma saya fikir orang Islam perlu peka dengan hal-hal sebegini supaya mereka tidak terlibat dengan sebarang unsur “bisnes agama” atau “bisnes produk agama”.

Kepada orang Islam pula, usah mudah terpesona dengan program berjenama agama seperti wakaf, tahfiz, masjid, surau dan seumpamanya kerana sudah acap kali jenama itu diambil kesempatan oleh golongan yang tidak jujur.

Pada hemat saya, jika kita mahu mewakaf secara tunai (wakaf tunai) lebih menenangkan hati diserah kepada institusi agama yang tersusun pengurusan dan diaudit.

Atau, berilah wang kita itu kepada sanak-saudara kita sendiri yang fakir, kepada jiran kiri kanan rumah, anak-anak yatim, fakir yang terlantar secara terus, berbanding memberi kepada pihak-pihak tadi, sama ada atas nama wakaf atau apa sahaja.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/jangan-perdagangkan-ayat-suci-al-quran-kata-ustaz-ridzwan-kepada-kak-lah/

Baca juga: https://themalaysialife.com/hilang-tak-dapat-dikesan-mahkamah-arah-tangkap-bekas-pengasas-tudung-aidijuma/