Projek AES: LTAT tanggung RM555juta melebihi harga pasaran

Projek AES: LTAT tanggung RM555juta melebihi harga pasaran

Kementerian Pertahanan hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pegawai Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali menjelaskan, kos asal bagi melaksanakan projek AES adalah sebanyak RM40 juta, tetapi sebanyak RM555 juta pula perlu dibayar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi projek itu.

Katanya, jumlah itu (RM555 juta) melebihi harga pasaran, sekali gus mendedahkan wang pencarum anggota tentera berhadapan risiko kerugian.

“JKSTUPKK mendapati, wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan, termasuk mantan Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kabinet kerajaan terdahulu yang menjurus kepada kepentingan politik.

“Siasatan turut mendapati, cadangan LTAT mengambil alih projek AES hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan antara mantan Perdana Menteri dan beberapa menteri pada September 2015. Ini menimbulkan keraguan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan hasil siasatan kepada SPRM, di bangunan SPRM, Putrajaya hari ini.

Rafizal menjelaskan, tujuan laporan dibuat kepada SPRM hari ini adalah supaya siasatan lanjut dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca di sebalik arahan atau cadangan supaya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih AES dengan harga RM555 juta.

JKSTUPKK turut mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi, sekali gus meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.

Sebelum ini JKSTUPKK pada 21 Februari lepas menerusi Kementerian Pertahanan  telah menyerahkan laporan kepada SPRM berkaitan land swap  membabitkan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang.