Projek air luar bandar: Kerajaan hapus RM3.8 bilion hutang kerajaan negeri

Projek air luar bandar: Kerajaan hapus RM3.8 bilion  hutang kerajaan negeri

Kerajaan Persekutuan bersetuju menghapuskan pinjaman bagi projek Bekalan Air Luar Bandar Kerajaan Negeri berjumlah RM3.8 bilion bagi tahun 2001 ke atas berdasarkan baki belum selesai pada 31 December 2018.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, projek bekalan air luar bandar merupakan projek sosio ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan, bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar.

Namun katanya, projek tersebut tidak mendatangkan hasil yang tinggi sepertimana projek bekalan air di kawasan bandar.

“Selepas ini, Projek Air Luar Bandar juga tidak akan lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan, tetapi akan diperuntukkan secara geran yang dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Pelaksanaan hapus ini diharap dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, mengurangkan beban kewangan tahunan negeri, serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati oleh rakyat untuk jangka masa panjang.

“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat operator air negeri boleh memfokuskan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan bekalan air,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kewangan Negara, di Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau turut berkata, ia akan tertakluk kepada kerajaan negeri untuk memuktamadkan Skim Penstrukturan Semula Bekalan Air Negara selewat-lewatnya pada 31 December 2019.

Tambahnya lagi, Majlis Mesyuarat Kewangan Negara hari ini turut meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai tahun 2019.

“Ia bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan
dan marin serta bagi membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program/projek bagi meningkatkan hasil negeri.

“Majlis juga bersetuju Pemberian Cukai Pelancongan menjadi satu pemberian baharu kepada Kerajaan Negeri mulai tahun 2019 yang berdasarkan agihan 50% hasil kutipan Cukai Pelancongan di negeri-negeri.

“Pemberian ini adalah bagi membantu Kerajaan Negeri menyenggara dan menyediakan kemudahan pelancongan, mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan dan menambah baik pelaporan statistik pelancongan.

Antara persetujuan lain yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah, menambahbaik Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris).

Ia antara lain termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak didaftarkan di dalam Sistem MARRIS online.

Selain itu, termasuk perbelanjaan menaik taraf jalan, jambatan, parit, dan longkang dengan had tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta yang mana terendah.