Projek atas tanah MRT2 diteruskan dengan kos kurang 23 peratus

Projek pembangunan atas tanah MRT2 akan diteruskan dengan jumlah kos baharu yang kurang 23 peratus iaitu RM17.42 bilion berbanding RM22.64 bilion sebelum ini.

Persetujuan kerajaan Persekutuan dan pelaksana projek (MMC-Gamuda) untuk projek itu bagaimanapun tidak melibatkan pengurangan kos untuk kerja-kerja bawah tanah ekoran kegagalan kedua-dua pihak terbabit untuk mencapai penyelesaian.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan.

Menurutnya, bagi kerja-kerja bawah tanah yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui tender terbuka antarabangsa.

“Pada 3 Oktober lalu, Jemaah Menteri menerima tawaran daripada MMC-Gamuda melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September 2018 untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 sebagai ‘turnkey contractor’ dengan kos RM17.42 bilion.

“Ini merupakan satu penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus berbanding kos asal kerja atas tanah yang dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah,” jelas kenyataan itu.

Pada 25 Februari 2014, Jemaah Menteri telah meluluskan projek Jajaran Kedua Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT2) Laluan Sungai Buloh -Serdang-Putrajaya (SSP) dengan anggaran awal berjumlah RM28 bilion.

Kos bagi projek dengan cadangan jajaran 52.2 kilometer dan 36 buah stesen bagi Laluan SSP itu tidak termasuk fi (caj) perunding, fi pelaksana projek, faedah pinjaman dan kos operasi Mass Ra­pid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTCo).

Walau bagaimanapun, kos keseluruhan MRT2 dikatakan telah melambung naik kepada RM56.93 bilion akibat faktor seperti kelulusan skim landasan yang melibatkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia dan perubahan skop.

Ekoran itu, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengangkutan, MRTCo dan pihak swasta mengadakan rundingan untuk mengurangkan kos MRT2 pada Mei lepas.

 

9.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.7