Projek beras wangi KADA sumber kekayaan baru pesawah, kata Husam

Projek beras wangi KADA sumber kekayaan baru pesawah, kata Husam
Husam melihat padi beras wangi yang kini ditanam di bawah projek KADA di Kelantan.

Pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 22 April lalu bahawa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan akan dijadikan sebagai projek perintis bagi penanaman padi wangi membuka lembaran baru bagi meningkatkan pendapatan pesawah di negeri itu.

Pengerusi KADA Datuk Husam Musa berkata, sinar baru dibawakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dengan pengumuman dasar oleh Menteri Pertanian di Dewan Negara baru-baru ini, lebih membantu.

Tegasnya, dengan dasar dan hala tuju baru, beras wangi boleh menjadi sumber kekayaan baru bagi pesawah negara ini kerana harganya di pasaran lebih tinggi sekitar RM5 hingga RM8 per kilogram.

Dengan terlaksananya projek ini katanya, para pesawah akan menerima harga RM1860 setiap ton iaitu kenaikan 25% daripada harga beras putih biasa sekali gus pesawah akan menikmati pendapatan yang lebih baik.

Dengan dasar dan hala tuju baru, beras wangi boleh menjadi sumber kekayaan baru bagi pesawah negara ini kerana harganya di pasaran lebih tinggi sekitar RM5 hingga RM8 per kilogram.

Beliau berkata, walaupun pergerakan harga beras putih dunia menaik dan menurun disebabkan oleh permintaan dan penawaran beras, namun harga Beras Wangi tidak menurun dengan ketara.

“Ia didagangkan pada USD $1,050, bersamaan RM4,343 setiap metrik ton sementara beras putih pada harga USD$440-580/ton (FAO 2012), atau separuh lebih murah,” katanya di entri Facebook baru-baru ini.

Nilai dagangan beras wangi dunia pada tahun 2011 adalah 7.1% daripada jumlah dagangan beras dunia iaitu 3.42 juta ton daripada 481 juta ton.

Beliau tidak menafikan ramai orang sukakan beras wangi sebab itulah jumlah import negara adalah 250,000 tan setiap tahun.

“Adakah beras wangi tak mampu hidup di Malaysia? Atau adakah petani kita begitu lemah sehingga untuk menanam beras wangi pun mereka tidak layak?

“Pada hal harga beras ini lebih tinggi di pasaran. Maknanya, pendapatan petani akan lebih meningkat berbanding mereka menanam beras biasa. Negara pula boleh mengurangkan import.

“Atau kewangiannya hilang bila di tanam di Malaysia dan menjadi semerbak bila di tanam di Thailand? Semua itu adalah tahyul belaka,” ujar beliau.

Tegasnya, percubaan sebilangan petani berani di Kelantan sudah beberapa musim membuktikan beras wangi juga boleh hidup subur di Malaysia bahkan kewangian berasnya pun tidak kalah berbanding yang di import.

“Jadi apa sebenarnya? Ia adalah sama dengan banyak kes yang lain. Kita membunuh potensi diri kita dengan membuat pelbagai peraturan yang mengikat diri kita sendiri. Akhirnya, petani kita menderita dan tidak mampu maju,” katanya.

Sebelum ini, katanya, petani menghadapi kerenah antara lain, tidak boleh ditanam di dalam kawasan jelapang sebaliknya hanya boleh ditanam di luar kawasan jelapang, tidak layak menerima subsidi seperti padi lain dan harga selaras dengan beras biasa bila dibeli oleh pengilang.

“Akhirnya, kita gagal. Kita teruskan saja mengimport,” ujarnya.

Beras wangi mempunyai tekstur yang sangat lembut dan biji yang lebih panjang berbanding beras biasa, rasanya lebih enak, dan aromanya berbau harum.

Beliau percaya cuaca di Kelantan sangat ideal kerana tahap survival padi ini yang tahan dengan kondisi kurang air tambahan pula padi wangi mempunyai kelebihan dari segi pertumbuhanya yang sesuai dengan cuaca yang panas dan kelembapan yang tinggi.

Terdahulu, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu Dewan Negara bahawa pihaknya bersedia untuk berbincang dan mengkaji dasar supaya padi wangi boleh ditanam dalam kawasan jelapang, mungkin boleh bermula dengan 30 peratus.

“Menjadikan KADA Kelantan sebagai projek perintis kita untuk penanaman padi wangi, ini adalah langkah ke hadapan kerana beras ini mahal,” katanya.