Malaysia Dateline

Projek Bukit Payong terus jadi tanda tanya

Projek Loji Pelupusan Sampah Bukit Payong, Batu Pahat Johor terus menjadi tanda tanya penduduk kampung yang mempersoalkan kepada pihak kerajaan berkenaan dengan status pembinaan loji berkenaan.

Menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata, aduan yang diterima beliau berikutan status projek tersebut dari penduduk menggambarkan kebimbangan mereka terhadap projek tersebut.

Menurutnya lagi, kerajaan sebelum ini telah menangguhkan pembinaan projek tersebut namun aktiviti yang berlaku dilapangan telah mengundang keresahan penduduk kampung.

“Kita dapat lihat jentolak masih melakukan kerja-kerja di lapangan sehingga penduduk kampung mengadu pada saya untuk bertanya pada pihak kerajaan apakah status tanah tersebut.

“Saya berharap kerajaan hari ini konsisten dengan keputusan yang telah diambil sebelum ini di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato Osman Sapian yang menangguhkan projek berkenaan.

“Projek tersebut tidak sepatutnya diteruskan kerana bantahan oleh pihak penduduk telah pun dibuat dan sampai bila pihak penduduk harus menunjukkan rasa resah mereka kepada pihak kerajaan.

“Saya memohon agar Menteri Besar Johor memberikan suatu jaminan agar projek tersebut dihentikan kerana ia akan melibatkan ancaman terhadap 18 buah kampung yang berdekatan dengan projek berkenaan,” ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu beliau berkata, selain tapak projek pelupusan yang berdekatan dengan kampung, ia juga turut membabitkan 9 buah sekolah kerajaan yang berada di sekitar tapak projek berkenaan.

Katanya lagi, beliau turut mencadangkan tapak gantian di Hutan Simpan Lenggor yang digondolkan dalam isu pembalakkan sebelum ini atau mana-mana hutan simpan yang setaraf dengannya.

“Di Bukit Payong terdapat khazanah lama dan ia juga merupakan tapak warisan serta daya tarikan pelancong yang kerap mendaki bukit itu.

“Selain itu terdapat fossil berusia jutaan tahun dan Batu Acheh berusia 500 tahun pernah ditemui di kawasan berkenaan. Ini menandakan kawasan tersebut perlu dijaga bukan dirosakkan semula jadinya dengan projek tapak pelupusan seperti itu.

“Di sidang Dun yang lalu saya telah membawa cadangan agar tapak gantian disegerakan oleh pihak kerajaan bagi menggantikan tapak Bukit Payong kerana ianya tidak sesuai,” ujarnya lagi.