Malaysia Dateline

Projek EM-IIG bernilai RM5.45 bilon akan tawar internet pantas, murah

Projek Gerbang Internet Antarabangsa Enchanced Malaysia (EM-IIG) bernilai RM5.45 bilion (US$1.3 bilion) yang menggunakan kabel gentian optik 150 terabait bakal akan menawarkan internet yang pantas dan murah, setelah projek itu siap dijangka pada September tahun depan.

Pengerusi Eksekutif Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd (Xiddig) Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim berkata projek yang dibangunkan syarikat itu melibatkan pemasangan kabel optik gentian bawah laut dibawa dari hab internet antarabangsa Hong Kong menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata projek melibatkan jarak 110,000 km itu dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama meliputi kawasan dengan jarak 33,000 km di bandar utama negara ini sebelum diperluaskan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Secara keseluruhan projek pemasangan kabel optik gentian ini mengambil masa lima tahun dan kerja-kerja pemasangan bawah laut telah mula berjalan sejak awal tahun dari Hong Kong dan dijangka masuk ke perairan Malaysia pada April 2019.

“Terdapat enam stesen pendaratan bagi pemasangan kabel optik gentian ini iaitu di Bintulu, Sarawak; Papar, Sabah; Penggerang, Johor; Batu Kawan dan Batu Maung, Pulau Pinang; dan Tok Bali, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas program Taklimat Dan Pendaftaran Kontraktor Projek EM-IIG di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata menerusi projek EM-IIG itu, ia meningkatkan tahap capaian internet yang pantas, berkelajuan tinggi dan lebih berkesan oleh rakyat di negara ini bagi seluruh kawasan termasuk pedalaman dengan harga yang jauh lebih murah.

“Menerusi projek ini pengguna tiada lagi masalah capaian dan boleh menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi yang dibekalkan menerusi Fiber to the Home (FTTH) iaitu lima megabait sesaat hingga satu gigabait sesaat meliputi semua kawasan, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua rakyat menikmati kemudahan yang sama,” katanya.

Beliau berkata Xiddig turut bercadang membangunkan pusat data peringkat 4 di Malaysia dengan dapat terus diakses tanpa gangguan atau tanpa putus selain membawa teknologi 5G kepada pengguna.

Harga untuk pakej langganan internet itu akan diumumkan kemudian, katanya.

— BERNAMA