Projek Estet Padi boleh direalisasikan dengan kerjasama pesawah, kata Exco

Projek Estet Padi boleh direalisasikan dengan kerjasama pesawah, kata Exco
Azman ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Padi Kebangsaan semalam.

Projek Estet Padi mampu untuk direalisasikan dengan kerjasama utuh antara kerajaan, jabatan, agensi kerajaan, swasta dan pengusaha-pengusaha tanaman padi kata Exco Kerajaan Negeri, Azman Nasrudin.

.Jelasnya, KADA dan MADA merupakan agensi kerajaan yang telah memulakan projek estet padi di Malaysia melalui pelbagai inisiatif seperti Projek Padi Merdeka dan Projek NKEA EPP-10 dan EPP-11.

“Dalam merealisasikan objektif Projek Estet Padi tersebut, antara cabaran utama ialah mengumpul plot-plot kecil milikan individu, menjadikan ia sebagai kelompok besar yang diusahakan oleh pengurus yang berpengalaman serta perkongsian untung-rugi dikalangan pemilik tanah dan pengusaha.

“Pembangunan padi berskala besar ini menekankan enam komponen iaitu pengurusan estet padi, kerjasama rakan strategik, program pelbagaikan pendapatan, penstrukturan organisasi, pembangunan infrastruktur dan pemerkasaan peranan PPK.

“Namun begitu, pihak kerajaan perlu merancang dan mencari solusi dengan memperkenalkan dasar-dasar yang ‘mesra petani’, penyediaan keperluan, teknologi dan infrastruktur yang lengkap di seluruh rantaian pengeluaran padi dan paling penting ialah menjamin peningkatan petani, ” ujarnya semasa majlis penutupan Konvensyen Padi Kebangsaan di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Tegasnya lagi, apa yang dapat dirumuskan ialah kegusaran para pengusaha padi mengenai pengukuhan ‘self-reliance’ dikalangan pesawah serta pengukuhan peranan institusi peladang.

Selain itu tambahnya, pemulihan tanah bermasalah, pembangunan varieti padi yang mengikut keperluan lokasi setempat juga harus diberi perhatian serius.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan industri padi demi mengekalkan jaminan bekalan makanan negara atau ‘food security’.

Konvensyen Padi Kebangsaan yang diadakan mulai 10 September dan berakhir semalam telah berjaya membentangkan sebanyak 24 pembentangan yang terdiri daripada 21 kertas kerja ‘keynote’, ‘plenary’ dan jemputan serta 3 sesi perkongsian pengalaman daripada tokoh-tokoh yang terbukti cemerlang dan berjaya mengusahakan padi secara komersil dan besar-besaran.