Projek Heritage Trail 6 dinaiktaraf beri keselesaan kepada pejalan kaki

Projek Heritage Trail 6 dinaiktaraf beri keselesaan kepada pejalan kaki
Khalid Abdul Samad mendengar penerangan daripada kakitangan bertugas mengenai Projek Trail 6 di Dataran Medan Pasr pagi tadi.

Projek Heritage Trail 6 (Laluan Jejak Warisan 6) kini sudah dinaiktraf  oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sekali gus memberi keselesaan kepada pejalan kaki di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Projek sepanjang satu kilometer ini, adalah antara laluan penghubung utama pejalan kaki menghubungkan Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail Dang Wangi, Leboh Ampang dan seterusnya ke Medan Pasar serta kawasan sekitar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata pemilihan lokasi Heritage Trail 6 adalah berdasarkan kajian yang terkandung dalam Pelan Induk Jejak Warisan.

Beliau berkata, istimewanya laluan siar kaki itu kerana, berfungsi sebagai penghubung kepada projek Heritage Trail yang lain dan juga projek River Of Life (ROL).

“Transformasi berkenaan dilihat berpotensi menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menggunakan laluan yang telah dinaiktaraf itu dan memberi keselesaan kepada pengguna.

“Pihak DBKL mengambil inisiatif mengindahkan laluan ini dengan kerjasama pelbagai jabatan dalaman DBKL dan agensi, termasuk pihak Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Pada masa akan datang, pihak DBKL juga merancang memasang papan panel maklumat bagi menceritakan asal-usul dan latar belakang sesuatu bangunan atau kawasan,” katanya dalam ucaptama Majlis Perasmian Projek Heritage Trail 6 dan Pengindahan Kawasan Sekitar Leboh Ampang, di Dataran Medan Pasar, pagi tadi.

Majlis itu dirasmikan sendiri oleh beliau, sambil disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Pada masa sama, projek ini juga berfungsi sebagai penghubung antara hub pengangkutan awam utama seperti Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen LRT Dang Wangi, dan Stesen LRT Masjid Jamek.

Heritage Trail 5 masih dalam proses pelaksanaan, manakala Heritage Trail 6 adalah antara Heritage Trails yang telah disiapkan, selain Heritage Trail 1, Heritage Trail 2, Heritage Trail 3 dan Heritage Trail 7 & 8.

Khalid Abdul  Samad dan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika meninjau kawasan sekitar Projek Heritage Trail 6 di Medan Pasar pagi tadi