Malaysia Dateline

Projek Kangar City Centre terbengkalai sejak pecah tanah setahun lalu

Bila agaknya projek Kangar City Centre (KCC) yang telah disempurnakan pecah tanah oleh Menteri Besar (MB) Perlis, Datuk Seri Azlan Man sejak hampir setahun yang lalu akan menjadi kenyataan.

Mungkinkah akan ada lagi projek pecah tanah atas tapak yang sama menjelang pilihan raya umum yang akan datang, atau rakyat negeri Perlis akan dimomokkan lagi dengan janji-janji manis.

Persoalan ini masih lagi bermain difikiran rakyat negeri Perlis setelah melihat tapak KCC belum ada cerucuk maupun kerja-kerja pembangunan dilaksanakan.

Ketua Wanita AMANAH Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob  (gambar dua dari kiri) yang turun padang bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perlis ke tapak KCC amat terkejut dengan apa yang mereka saksikan.

“Semak samun masih lagi menghiasi tapak projek pecah tanah yang disempurnakan oleh MB sejak Februari 2017 yang lalu.

“Genap bulan hadapan maka ia sudah setahun, tapi janji untuk menyiapkan projek tersebut dijangka siap dalam tahun 2020.

“Rakyat Perlis amat mengharapkan projek ini siap sepenuhnya seperti apa yang mereka janjikan kerana ia dijangka bakal menyediakan 2000 peluang pekerjaan, ” ujarnya.

Menurut Che Mazlina lagi, adalah tidak logik projek yang telah pun disempurnakan pecah tanah oleh MB sejak hampir setahun dengan kos RM368 juta tidak dilaksanakan lagi.

“Kita tidak mahu banyak pecah tanah disempurnakan, tapi bayang projek pun tidak nampak walaupun telah menjangkau setahun.

“Seringkali kerajaan akan cuba mengaburi mata rakyat dengan pelancaran demi pelancaran.

“Tidak kurang juga dengan pelbagai bentuk projek pecah tanah seolah-olah projek akan disiapkan dengan segera, sebaliknya rakyat ditipu dengan janji-janji separuh jalan, ” tegasnya lagi.

Oleh kerana itu tambahnya, rakyat negeri Perlis harus berhati-hati serta berwaspada dengan setiap janji kerajaan menjelang pilihan raya umum yang begitu hampir.

Adalah difahamkan projek KCC tersebut adalah usahasama antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dengan Safuan Group Holdings Berhad.

Ia juga dijangka akan akan turut dilengkapi dengan hotel bertaraf lima bintang, pusat persidangan, pusat rekreasi, pusat membeli-belah serta 10 cineplex.

Antara sebahagian pembangunan yang terbengkalai di kawasan Kangar City Centre sejak setahun lalu.