Malaysia Dateline

Projek kereta nasional ketiga dan Industri Halal antara pencapaian MED

Hampir setahun menjawat jawatan menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan, kementeriannya telah mencapai tiga perkara menjelang tempoh setahun pentadbiran.

Beliau berkata, pencapaian pertama kementeriannya adalah mengenai Projek Kereta Nasional Ketiga, yang melibatkan penyertaan 147 vendor automotif bumiputera.

“Dalam inisiatif kereta nasional ini, saya mendapati, pelabur dan usahawan telah menunjukkan reaksi positif terhadap projek ini.

“Jurutera, pereka bentuk kenderaan dan juga orang yang terlibat dengan pengeluaran kereta di luar negara, mahu kembali ke Malaysia demi projek kereta nasional.

“Saya ambil satu contoh, di Thailand, ada syarikat Malaysia yang membantu sektor automotif di sana, tetapi kini mereka mahu kembali ke tanah air kerana berminat untuk turut serta dalam projek membangunkan kereta nasional ini,” katanya dalam sidang media berhubung pencapaian MED di Menara Berkembar Bank Rakyat, baru-baru ini.

Sidang media itu turut dihadiri, Timbalan Ketua Setiausaha MED, Dr Anis Mahmud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MED, Muhammad Razman Abu Samah.

Dalam perkembangan sama, Mohd Redzuan memaklumkan, pencapaian kedua adalah berhubung industri halal dunia yang kini dilihat semakin berkembang pesat.

Katanya, pihaknya berpuas hati apabila menerima maklum balas positif mengenai produk halal dari Malaysia yang dieksport ke luar negara.

“Produk halal dari negara kita telah mendapat perhatian dunia.. kita (Malaysia) perlu menjadi sebuah negara yang mengetuai sektor halal di dunia.

“Kami di (MED) juga telah mendapat persetujuan daripada pihak kerajaan untuk menguruskan industri halal tersebut.

“Pencapaian seterusnya ialah, Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ).

“Kita telah melancarkan PROTÉGÉ dan membuat modul formula untuk melahirkan golongan belia cenderung kepada keusahawanan, sekali gus diterima bekerja apabila tamat pengajian.

“Saya sangat gembira kerana inisiatif ini mendapat tarikan daripada golongan belia. Pada masa sama, saya juga optimis terhadap keputusan yang positif berhubung projek ini,”
katanya.