Malaysia Dateline

Projek KLVC: Razali Ibrahim berjaya batal saman Synergy Promenade

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim untuk  membatalkan saman oleh  syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB)  berhubung dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah membabitkan projek Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC) di Jalan Semarak, di sini selepas mendapati kenyataan itu tidak memfitnah SPSB.

Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili SPSB, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas  prosiding kes berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Chetan berkata mahkamah membenarkan permohonan Razali selaku defendan untuk membatalkan saman SPSB selepas mendapati kenyataan dikeluarkan defendan tidak memfitnah anak guamnya.

Sementara itu, seorang peguam dari Tetuan Gideon Tan Razali Zaini  yang bertindak bagi pihak Razali mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa mahkamah juga  memerintahkan SPSB membayar kos sebanyak RM3,000 kepada anak guamnya.

Pada Oktober tahun lepas, Razali, yang juga bekas Anggota Parlimen Muar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan tiada kausa tindakan munasabah untuk syarikat pemaju itu menyamannya.

SPSB selaku plaintif memfailkan saman itu pada 16 Julai 2018 selepas mendakwa Razali membuat beberapa kenyataan mengenai penglibatan SPSB sebagai pemaju utama projek KLVC.

Syarikat itu dalam kenyataannya mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Razali adalah palsu, tidak berasas dan telah mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

SPSB berkata syarikat itu sebelum ini telah menyampaikan satu notis tindakan kepada defendan menuntutnya memohon maaf, bagaimanapun beliau gagal berbuat demikian.

Syarikat itu memohon satu perintah injunksi supaya Razali dihalang daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah, juga menuntut ganti rugi RM100 juta serta mengemukakan permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh SPSB.

Sementara itu, SPSB dalam kenyataan medianya berkata syarikat itu akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA