Malaysia Dateline

Projek ladang hutan di Kelantan paling membimbangkan di Semenanjung Malaysia

Untuk makluman Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, masyarakat umum tidak mempersoal aktiviti pembalakan dilakukan secara sah atau tidak sah tetapi apa yang dipersoalkan adalah dasar dan ketetapan Kerajaan Negeri terhadap pengurusan dan pengusahasilan sumber hutan yang dilihat begitu rakus dan tidak mampan.

Masyarakat umum tidak menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan kepada negeri tetapi masyarakat umum tidak boleh terima hampir 28 peratus keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Kelantan dizonkan untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan (ladang monokultur).

Itu tidak termasuk aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.

Perlu dinyatakan, aktiviti pembalakan (pengusahasilan) untuk tujuan pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan pensijilan pengurusan hutan.

Kegiatan pengusahasilan untuk tujuan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian serta pengubahan guna tanah lain dalam kawasan HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis.

Malah, pelaksanaan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) kali ke-70 pada tahun 2014 yang menyarankan semua Pihak Berkuasa Negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan, didapati pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK terutamanya dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri mengakui mempunyai ‘standard and operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Dalam konteks di negeri Kelantan, pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK adalah paling membimbangkan di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2017, 169,133 hektar atau lebih 27 peratus daripada keluasan HSK di negeri Kelantan yang seluas 613,275 hektar pada dasarnya telah diluluskan untuk dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies Getah klon balak [TLC]).

Malah, terdapat juga ladang spesies Durian ‘Musang King’ dalam kawasan HSK di negeri Kelantan.

Penanaman Durian ‘Musang King’ dalam kawasan HSK adalah bercanggah dengan kriteria penubuhan ladang hutan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) kerana Durian ‘Musang King’ tidak disenaraikan sebagai spesies untuk tujuan penubuhan ladang hutan.

Bagi pihak saya telah melakukan pelbagai usaha agar pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK di negeri Kelantan tidak diteruskan.

Antaranya ialah:

– mengemukakan surat kepada YAB Menteri Besar; dan

– menemui Timbalan Menteri Besar dan membawa bersama wakil masyarakat Orang Asli serta mengemukakan memorandum.

Tetapi dukacita, semua yang diusahakan masih tidak mendapat maklum balas daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Sebaliknya sehingga kini, Pihak Berkuasa Negeri masih meneruskan pelaksanaan ladang monokultur berskala besar dalam kawasan HSK tanpa mengambil kira dan mematuhi kriteria-kriteria penubuhan ladang hutan.

Kesan kepada kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli seperti takungan air, penempatan, perkuburan dan kawasan mendapatkan hasil hutan masih terus diganggu dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen mengusahasil dan syarikat yang diberi kelulusan melaksana ladang monokultur dalam HSK di negeri Kelantan.

Satu perkara lagi, berdasarkan kenyataan YAB Menteri Besar bahawa Jabatan Perhutanan Negeri yang meluluskan kegiatan pembalakan (pengusahasilan) adalah mengelirukan.

Sebagaimana YAB sedia maklum, kelulusan pengusahasilan sumber hutan di Semenanjung Malaysia pada dasarnya adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri melalui satu jawatankuasa kehutanan dan hasil bumi yang kebiasaannya dipengerusikan oleh Menteri Besar / Ketua Menteri sesuatu negeri.

Apabila kelulusan dasar telah diperolehi barulah peranan Jabatan Perhutanan Negeri pula mengeluarkan lesen pengusahasilan.

Kami, masyarakat umum berharap dan menggesa dengan tegas supaya Pihak Berkuasa Negeri dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK di negeri Kelantan.

*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Keadaan ratusan hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Durian kini. Foto: Pauh Putit