Malaysia Dateline

Projek lapangan terbang antarabangsa Kulim akan jejaskan air ke P Pinang dan Kedah

Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) telah mendedahkan bahawa cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kulim atau KXP menunjukkan ia boleh mengakibatkan Sungai Muda tercemar dan menjejaskan perkhidmatan air di Pulau Pinang.

Ir Jaseni8230 carilah tapak yang lain

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, yang amat membimbangkan ialah projek KXP tersebut letaknya bersebelahan dengan dua bahagian tebing Sungai Muda yang mana panjang keseluruhannya adalah sekitar 14 kilometer.

Katanya, lokasi projek KXP tersebut dicadangkan di kawasan Sidam Kiri, Kuala Muda, Kedah dan komponen utama KXP adalah lapangan terbang dan bandaraya lapangan terbang serta taman perniagaan, komersial dan perindustrian.

Manakala hab aeroangkasa, logistik dan hab aeroangkasa pembuatan serta pembangunan lain seperti penempatan rancangan mitigasi banjir dan jalanraya serta semua komponen tersebut adalah merangkumi 3.982.51 hektar tanah.

“PBAPP tidak membantah cadangan Kedah untuk meneruskan projek KXP tersebut. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dibina di lokasi yang akan meletakkan risiko tinggi kepada perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang maupun Selatan Kedah pada masa ini dan juga masa yang akan datang,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, adalah lebih baik projek KXP tersebut dipindahkan ke tempat lain yang lebih selamat serta jauh dari kedudukan Sungai Muda yang merupakan sumber bekalan air mentah utama bagi Pulau Pinang dan Kedah.