Malaysia Dateline

Projek mega tambak laut, lebuh raya ancam alam semulajadi Pulau Pinang

Wajah lelaki berusia 54 tahun itu kelihatan sugul. Hasil tangkapan nelayan pinggir pantai berkenaan pada hari itu tidak sampai RM100. Jauh tidak berbaloi dengan kos minyak sahaja sudah mencecah sehingga RM60.

Keriangan sekumpulan kanak-kanak bermain layang-layang di pantai Kampung Rhu, Tanjung Tokong, Pulau Pinang melayangkan ingatan Harun Abdul Rashid sebelum tambakan laut kali rancak dilakukan sejak 1990-an.

Harun Abdul Rashid antara nelayan di Tanjung Tokong yang terkesan dengan cadangan projek tiga pulau buatan.

Masyarakat nelayan ketika itu boleh menangkap pelbagai jenis ikan, ketam dan siput mencecah RM600 hingga RM800 sehari. Namun, hasil tangkapan laut semakin merosot selepas tambakan laut melalui projek Seri Tanjung Pinang 1 seluas 97 hektar.

Kini, kerja menambak tanah untuk Seri Tanjung Pinang Fasa 2 seluas 307 hektar semakin menghimpit komuniti nelayan di selatan itu.

Projek tebus guna tanah seluas 1,800 hektar bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Teluk Kumbar juga terus menabur pasir ke dalam periuk nasi kira-kira 3,000 nelayan di kawasan tersebut.

Pembinaan tiga pulau buatan itu bagi membiayai kesemua projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM48 bilion yang turut merangkumi projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1).

Air Sungai Ara yang jernih mengalir di Taman Jajar dibimbangi terjejas jika PIL 1 diteruskan.

Kawasan riadah awam seperti di Taman Jajar yang diairi jernih Sungai Ara dan Taman Belia berusia lebih 40 tahun antara lokasi yang dibimbangi terancam dengan projek PIL1.

Kewujudan tiang-tiang raksasa PIL1 bagi enam laluan itu bukan sahaja merosakkan pemandangan semula jadi bahkan meningkatkan kadar pencemaran air, udara dan bunyi sekali gus menganggu kesejahteraan komuniti setempat.

Projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan raya oleh kontraktor Zenith Consortium pula akan mengancam Kampung Baru, Kampung Manggis, Masjid Al-Huda, Tanah Perkuburan Islam Batu Feringgi, Kampung Batu Feringgi, Kampung Keling, Kampung Teluk Bahang dan Sekolah Kebangsaan Teluk Bahang.

Turut terjejas Kampung Melayu, Kampung Pisang, Flat Kampung Kastam, Masjid Rawana, Khan Muhammad Khan dan Jalan Sungai Pinang.

Aktivis Penang Forum, Andrew Ng menerangkan ancaman PIL 1 kepada Taman Belia kepada peserta LASAK 5.

Tidak hairanlah Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution dalam slot Latihan Alam Sekitar 5 (LASAK 5) baru-baru ini menegaskan projek mega yang sedang menelan setiap inci tanah di Pulau Pinang kini tidak lebih hanya sebahagian daripada pelan pembangunan hartanah yang dimanipulasi pemaju.

Malaysia Dateline yang berpeluang mengikuti program anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) turut menyaksikan impak projek mega terhadap ekosistem hutan paya bakau.

Di Bagan Jermal tidak jauh dari Georgetown, tempat persinggahan beberapa spesies burung migrasi hilang sekelip mata apabila ekosistem itu musnah diratakan.

Hanya tinggal sepohon dua anak pokok api-api dan ikan belacak yang cuba bertarung nyawa untuk meneruskan hidup manakala kerja-kerja menambak laut terus rancak bagi tujuan pelbagai projek komersial dan kediaman tidak mampu milik.

Hutan paya bakau dimusnahkan semata-mata mahu mendirikan projek mega merangkumi kediaman mewah dan pusat komersial.

Pembangunan ‘mereng’ di lereng bukit juga dilihat begitu berleluasa di Pulau Pinang. Tinjauan di lokasi lubang benam di Persiaran Tanjong Bungah 3 disambut dengan aliran deras air jernih di parit sepanjang deretan 20 unit rumah berkembar tiga tingkat.

Selain bukit dinamakan Beverly Hills di perumahan yang mencecah RM2 juta seunit itu ditarah menegak 90 darjah dan tiada zon penampan, aktivis setempat memberitahu bahawa aliran air dari bukit itu mengalir di bawah blok Kondominium Surin berdekatan lubang benam bersaiz besar yang berlaku pada November tahun lalu.

Sampai bila Pulau Pinang harus dibiar menjerit didera dengan pelbagai projek mega yang menjejaskan ekosistem semula jadi, nilai warisan sejarah serta kesejahteraan manusia?

Seperti pendirian rata-rata pimpinan aktivis tempatan yang ditemui, mereka tidak menolak pembangunan tetapi biarlah apa yang dirancang bukan menurut sahaja kehendak rakus pemodal sehingga membelakangi aspek penting pembangunan mapan.

Benar, isu ancaman alam sekitar juga berlaku di seluruh negara tetapi Pulau Pinang yang sudah ditadbir oleh Pakatan Harapan (sebelum ini dikenali Pakatan Rakyat) sejak 2008 harus menjadi contoh kepada pembangunan yang lestari dengan tidak mengabaikan kepentingan memelihara alam sekitar.

Projek rumah mewah di lereng bukit di Tanjong Bungah termasuk di kawasan laluan air sungai Ibarat bom jangka.