Malaysia Dateline

Projek parit konkrit RM60,000 dibina di Kampung Semeban

Sebanyak RM60,000 telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membina parit konkrit di simpang masuk Kampung Semeban,Batu Kitang di Kuching.

Pengerusi DAP Cawangan Batu Kitang, Abdul Aziz berkata,projek tersebut merupakan peruntukan khas daripada Ahli Parlimen Stampin yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),Chong Chieng Jen.

“In shaa Allah…jika tiada masalah cuaca yang sering hujan ketika ini,projek ini dijangka siap pada Februari tahun hadapan,” katanya ketika ditemui bersama-sama dengan pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kerajaan Persekutuan yang menyerahkan kelulusan projek kepada pihak kontraktor di Kampung Semeban,Batu Kitang di Kuching hari ini.

Abdul Aziz mendakwa,sebelum Kerajaan Persekutuan bertukar tangan, permohonan untuk membina parit konkrit pernah dipohon beberapa kali namun tidak pernah mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

“Hal ini mungkin kerana pihak di sebelah sana (Kerajaan BN) sebelum ini beranggapan tidak berbaloi untuk membantu dua keluarga yang mendiami kawasan ini.

“Justeru, apabila penduduk membuat permohonan kepada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin pertengahan tahun ini, tanpa sebarang masalah permohonan tersebut mendapat pertimbangan sewajarnya oleh Ahli Parlimen Stampin.

Walaupun sebuah keluarga atau dua buah keluarga, apa yang penting adalah suara rakyat tanpa mengira bangsa dan agama didengari dengan adil dan saksama,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu jelas beliau, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin dan DAP Cawangan Batu Kitang akan terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan untuk penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kitang.