Malaysia Dateline

Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang siap Januari 2024

Kos projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang (PIA) sejumlah RM800 juta akan bermula pada Mac tahun 2020 dan dijangka akan siap pada Januari 2024.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Menurut beliau lagi, projek pembesaran PIA tersebut telah pun mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Selain itu ujarnya, fasa pertama melibatkan pembinaan apron parkir, jalan rayap dan kemudahan infrastruktur yang lain.

“Manakala fasa kedua pula ialah cadangan merobohkan dan membina semula termasuk bangunan menara kawalan trafik udara.

“Ia juga melibatkan bangunan dua tingkat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan bangunan Meteorologi.

“Disamping itu juga termasuk cadangan pembinaan satu unit bangunan dua tingkat perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang serta bangunan Unit Bencana Udara, ” tegasnya.

Jelas Jagdeep lagi, mesyuarat Unit Pusat Setempat, MBPP telah pun memberi kelulusan bagi kebenaran merancang projek pembesaran lapangan terbang antarabangsa tersebut.

Ia akan dilaksanakan melalui empat fasa sepertimana yang telah ditetapkan.

Sementara itu kata beliau dengan pembinaan ruang tambahan tersebut ia akan mampu untuk meningkatkan jumlah kapasiti penumpang daripada 6.5 juta kepada 12 juta setahun.

Adalah difahamkan dengan pembesaran PIA, ia mampu untuk menampung sejumlah 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding sebanyak 15 pesawat pada ketika ini.