Malaysia Dateline

Projek perintis NCP TNB di Jasin capai 90 peratus

Pemasangan infrastruktur bagi projek perintis Pelan Penghubung Kebangsaan (NCP) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tiga kawasan di daerah Jasin telah mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata sebanyak 1,100 buah kediaman di Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor bakal menikmati akses rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan fiber optik menerusi projek NCP itu.

“Inisiatif capaian internet seperti ini bagi memastikan kemudahan internet dapat dinikmati oleh semua golongan termasuk di kawasan luar bandar dalam usaha memperkasa rakyat dengan pelbagai maklumat di samping menyediakan akses internet yang lebih pantas dan murah.

“Kita juga akan melakukan kaji selidik bermula bulan depan dengan keberkesanan aspek teknikal bagi mengkaji permintaan penduduk di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media selepas melawat TNB Jasin di sini hari ini.

Sementara itu, Kerk berkata kerajaan negeri Melaka menyambut baik usaha TNB yang akan melaksanakan pertukaran kira-kira 100,000 daripada 340,000 meter rumah penduduk di negeri ini dengan pemasangan meter pintar di kediaman mereka.

“Langkah ini memudahkan pengguna bagi mengesan tarif elektrik yang telah digunakan bagi tempoh setiap 30 minit sekali gus dapat mendorong rakyat mengurangkan penggunaan elektrik selaras dengan slogan ‘Melaka Berwibawa’ dengan tagline Pintar, Hijau, Bersih,” katanya.

Beliau berkata langkah pemasangan meter pintar itu merupakan sebahagian usaha TNB dalam memperkasa pengguna dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penggunaan teknologi terkini.

Untuk rekod, sehingga kini lebih 110,000 meter pintar telah dipasang di negeri ini sejak tahun lepas dan Melaka dipilih TNB sebagai negeri perintis sistem rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi fiber optik di bawah projek NCP.

— BERNAMA