Malaysia Dateline

Projek perumahan: Mitos atau realiti?

Kalau di Negeri Perak, Barisan Nasional (BN) Negeri Perak telah menawarkan di dalam ‘Akujanji’nya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei 2013 yang dilancarkan pada 22 April 2013 di Padang Rengas sebanyak 35,500 unit rumah menjelang berakhirnya tempoh ini, namun sudahkah ianya tercapai?

Sebanyak 22,000 lot tapak rumah ditawarkan selain membina semula dan menaiktaraf rumah-rumah pangsa yang uzur di kawasan bandar-bandar utama sebagai contoh di Bandaraya Ipoh keadaan rumah pangsa ‘Waller Court’, Jalan Raja Ashman Shah dan Buntong Permai.

Berdasarkan pecahan tersebut dengan bermatlamatkan ke arah setinggan sifar, sebanyak 20,000 unit perumahan rakyat akan dibina selain turut akan membina 15,000 rumah mampu milik melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pada bulan Mei 2015, Menteri Besar Negeri Perak Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir menzahirkan kekesalannya terhadap dua agensi Kerajaan Persekutuan ini berikutan pergerakan yang terlalu perlahan dan lambat merancang dalam melaksanakan dan menyiapkan projek-projek perumahan mereka di Perak.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, dengan memulakan inisiatif sendiri di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), untuk merealisasikan sasaran pembinaan sebanyak 10,000 unit rumah mampu milik seperti yang dijanjikan telah dimulakan oleh agansi Kerajaan Negeri Perak tersebut.

PKNP telah melancarkan projek perumahan teres mampu milik pertama di negeri ini iaitu [email protected] di Bandar Meru Raya termasuk rumah mampu milik yang lain iaitu Casa Kayangan dan D’Aman Residensi oleh syarikat pembinaan daripada negara China, China Huashi Enterprises Company Limited (Malaysia).

Manakala melalui laman sesawang PR1MA, terdapat dua kategori projek perumahan yang telah dilaksanakan di Perak iaitu rumah teres sebanyak 5,630 unit dan apartmen sebanyak 2,335 unit dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 7,965 unit dan ini masih tidak menepati sasaran awal janji dahulu.

Berikut pecahan rumah teres di Sitiawan – 1,268, Bagan Serai – 1,248, Kamunting – 525, Sungai Raia – 376, Sungai Siput – 957, Kampar – 609 dan Tapah – 647 manakala apartmen di Falim – 616, Kampung Paloh – 456, Bandar Meru Raya – 1,011 dan Fair Park – 252.

Selain itu, 15,000 lot tapak rumah untuk orang awam beserta pusat perniagaan komuniti dan juga 7,000 tapak rumah untuk bekas perajurit dan polis melalui Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira.

Seawal bulan Oktober 2012, Datuk Seri Zambry telah melancarkan projek RPT Perwira di Sungai Tumboh, Mukim Bota dengan perancangan bagi fasa pertama sebanyak 3,700 lot disediakan dan bagi fasa kedua sebanyak 3,300 lot tanah di RPT Perwira yang telah diumumkan pada bulan September 2011 dahulu.

Tetapi pada bulan Mac 2017, perancangan RPT Perwira berubah apabila diumumkan projek perumahan khas disediakan di tiga Daerah terlibat iaitu di Segari daerah Manjung sebanyak 304 unit, Tapah Road sebanyak 606 unit dan Seri Iskandar sebanyak 950 unit yang jumlah keseluruhan sebanyak 1,860 unit.

Di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) pula, janji untuk membina sebanyak 500 rumah baru dengan kos sebanyak RM 30 Ribu seunit dan 1,000 baik pulih dengan kos sebanyak RM 15 Ribu seunit di bawah program Infra Bina Upaya (IBU) kepada golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, YBUDR telah memperkenalkan Program Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) kepada yang layak bagi membantu rakyat Perak yang berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 untuk memiliki kediaman tanpa dikenakan sebarang faedah dengan rumah bernilai kurang daripada RM52 ribu seunit.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada bulan April 2016 yang lalu telah meluluskan Enakmen Perumahan dan Hartanah Perak 2016 dengan menubuh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak dengan menyediakan sebanyak RM6.0 juta sebagai geran pengurusan dalam Bajet 2017.

Dengan meletakkan harga siling kos setiap rumah mampu milik yang akan dibina tidak melebihi RM220 ribu seunit dan turut mencadangkan kepada SPNB dan juga PR1MA agar mengikut dasar perumahan dengan menetapkan harga rumah mampu milik yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Perak.

Selain itu juga, projek rumah kos rendah yang terbahagi kepada dua kategori rumah yang berharga RM42 ribu dan RM70 ribu seunit turut dirancang dan turut memperbanyakkan kembali kuarters penjawat awam yang diuruskan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Perak pula turut merancang projek pembangunan ikonik di Bandar Tasik Amanjaya (BTA) iaitu lebih 4,000 unit kediaman bakal dibina yang dijangka didiami lebih 20,000 orang yang dilancarkan pada bulan Oktober 2014 yang lalu.

Jika semua ini dibentangkan, sepatutnya tidak timbul isu perumahan yang dihadapi oleh rakyat, pemaju dan kerajaan kerana hanya dengan ‘Akujanji’ BN Perak telah membuktikan begitu banyak projek perumahan dilaksanakan selain menyediakan lot-lot tapak rumah dan penyediaan pinjaman mudah.

Akan tetapi, jika daripada keseluruhan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tujuh Juta orang yang dianggarkan hampir satu juta orang datangnya daripada negeri ini, itu sebenarnya penanda aras yang tepat bahawa jumlah rakyat Perak yang layak memiliki rumah kos rendah.

Jika diperhalusi kini juga berlaku lambakan pelbagai bentuk rumah di pasaran tidak terlepas juga di Perak dan jika ianya rumah mewah adalah satu perkara yang biasa tetapi jika ianya rumah mampu milik adalah cukup pelik kerana sudah tentu terdapat beberapa kekangan daripada pembelinya.

Melalui Pinjaman Perumahan yang tersedia, masih banyak halangan dan kos sampingan yang terpaksa dikenakan caj kepada peminjam dan ini adalah kesukaran yang dihadapi kepada yang merancang untuk membeli rumah sendiri jika suami dan isteri bekerja di sektor swasta.

Kesimpulan kepada projek perumahan ini, Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak khasnya wajar menawarkan satu polisi yang tepat dengan kehendak rakyat iaitu keutamaan bagi membina projek rumah kos rendah kerana itulah pasaran yang paling banyak yang perlu dibantu.

Keluasan tapak rumah juga perlu lebih luas kerana akan memberi peluang kepada pemiliknya untuk membuat pembesaran kediamannya nanti jika berkemampuan dan ianya sebenarnya membantu pemilik rumah kos rendah untuk merancang kewangannya di masa hadapan.

Dua perkara yang rakyat Perak akan dapat iaitu lebih cepat untuk memilik rumah sendiri dengan adanya rumah kos rendah dan lebih mudah merancang jika berhasrat untuk membesarkan rumah masing-masing kerana Kerajaan Negeri prihatin akan perkara ini yang mesti dijuarai oleh PH.

# Penulis adalah Setiausaha AMANAH Negeri Perak