Malaysia Dateline

Projek River Of Life: Kementerian adakan rundingan kurangkan kos projek

Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat Ecoriver Construction Sdn Bhd untuk mendapatkan pengurangan harga nilai kontrak  bagi projek River of Life di Kuala Lumpur.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata rundingan itu dibuat selaras dengan arahan Kementerian Kewangan dan keputusannya akan dibawa semula kepada kementerian itu untuk kelulusan.

“Keputusan akan diangkat kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan apabila selesai proses rundingan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, selepas tender projek itu dikeluarkan pada 21 Sept 2016, ia telah melalui pelbagai proses rundingan bagi tujuan penjimatan kos sebelum ditawarkan kepada Ecoriver Construction Sdn Bhd, anak syarikat Ecovest Berhad pada 9 Mac 2018.

Kerja-kerja projek telah dimulakan pada 7 Mei 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Nov 2019 dengan kos kontrak bernilai RM99 juta.

Khalid berkata projek tersebut kini telah mencapai kemajuan 25.89 peratus.

— BERNAMA