Projek RTS Link JB-Singapura tidak berjalan lancar, kata Menteri Singapura

Projek RTS Link JB-Singapura tidak berjalan lancar, kata  Menteri Singapura

Pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura kini lewat daripada jadual asal serta tidak berjalan lancar, kata Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen mengenai perkembangan projek transit aliran itu, beliau berkata Perjanjian Dua Hala RTS Link (BA) yang dimeterai Singapura dan Malaysia pada Januari 2018, telah menetapkan beberapa perkara penting bagi menjejaki perkembangan projek tersebut.

Mengikut BA tersebut, syarikat usaha sama (JVC) membabitkan SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia Bhd sepatutnya telah ditubuhkan menjelang 30 Jun, 2018 dan JVC itu perlu dilantik sebagai operator atau pengendali RTS Link (OpCo) menerusi satu Perjanjian Konsesi (CA) dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan kerajaan Malaysia menjelang 30 September, 2018.

“Bagaimanapun, perkara penting itu tidak dapat menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Khaw, sejak beberapa bulan lepas, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menggantikan rakan usaha sama (JV) tetapi telah lewat mengesahkan rakan tersebut – pertama sehingga September 2018, kemudiannya sehingga tarikh Disember 2018 dan terbaharu pada 28 Dis, 2018 apabila Malaysia meminta diberi tempoh sehingga 28 Februari, 2019 bagi mengesahkan rakan JV berkenaan.

“Berikutan kelewatan itu, JVC tersebut tidak dapat ditubuhkan sehingga kini, malah CA pun belum ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga secara tindakan sebelah pihak telah menggantung rundingan dua hala bagi melantik OpCo sejak Ogos 2018 sementara menunggu pengesahan rakan JV Malaysia.

Khaw berkata di bawah BA, jika tarikh akhir asal (menyaksikan) JVC itu sama ada belum ditubuhkan atau sebarang pelantikan OpCo dibuat, maka kedua-dua negara tertakluk untuk sama-sama memanggil tender secara saksama, antarabangsa, telus dan terbuka bagi melantik OpCo, kecuali kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan tarikh-tarikh akhir tersebut.

Malah, selaras hasrat BA berkenaan, Khaw berkata Singapura turut menyedia serta menghantar draf dokumen tender kepada Malaysia pada November 2018 bagi mendapatkan maklum balas.

Menurutnya, ini tidak membabitkan sebarang tindakan segera kerana mengikut perkiraan Singapura, tender terbuka itu perlu dipanggil menjelang 31 Mac, 2019 supaya sebagaimana ditetapkan di bawah BA, OpCo yang dilantik berupaya memperoleh sistem teras Thomson-East Coast Line (TEL) bagi RTS Link sebelum pilihan pemerolehan itu tamat.

“Bagaimanapun, setakat ini, kami tidak menerima sebarang maklum balas Malaysia terhadap draf dokumen tender itu,” katanya.

Sehubungan itu, wujud risiko bahawa Singapura dan Malaysia tidak mungkin bersedia untuk memanggil satu tender terbuka menjelang 31 Mac, 2019, yang berkemungkinan besar menyaksikan OpCo yang dilantik gagal mendapatkan sistem teras TEL sebelum berakhirnya tarikh pilihan itu, katanya.

Khaw turut menegaskan bahawa Singapura bertindak wajar dalam melaksanakan BA itu.

LTA misalnya telah menghimpunkan hampir 70 kakitangan, termasuk jurutera sivil serta sistem bagi pelaksanaan RTS Link, katanya.

“Kami turut memanggil tender awam untuk membina infrastruktur RTS Link termasuk stesen RTS Link Woodlands North di Singapura serta sebahagian daripada jambatan RTS Link tersebut,” katanya.

Khaw berkata Singapura juga kekal komited sepenuhnya bagi melaksanakan Projek RTS Link tersebut serta memenuhi obligasinya di bawah BA berkenaan.

“Kami juga bertindak sewajarnya dan fleksibel kerana sedia maklum dengan keadaan Malaysia susulan pilihan raya umum pada Mei 2018,” katanya.

Namun, kata Khaw, wujud implikasi serius susulan kegagalan memenuhi tarikh akhir ditetapkan BA membabitkan pelantikan OpCo dan seterusnya tidak berbincang dengan Singapura untuk mengambil langkah secara bersama memanggil tender terbuka bagi melantik OpCO.

Beliau turut membangkitkan bahawa BA itu merupakan satu perjanjian antarabangsa yang mengikat negara-negara yang memeterainya, tidak kiralah jika berlaku sebarang perubahan kerajaan.

BA itu jelas menggariskan tanggungjawab setiap negara terbabit dalam projek itu serta impklasi jika gagal memenuhinya, katanya.

“Kami akan terus mengambil pendekatan membina bagi menggerakkan projek ini. Sebagaimana Malaysia sedia maklum, RTS Link bertujuan menjadi usaha bersama bagi mengurangkan kesesakan di pusat-pusat pemeriksaan serta bagi menggalakkan kerjasama pengangkutan.

“Bagaimanapun, akibat kelewatan, tarikh bermulanya perkhidmatan RTS Link ini berkemungkinan terpaksa ditangguhkan melangkaui sasaran awal iaitu pada 31 Dis, 2024,” katanya- BERNAMA