Malaysia Dateline

Projek runding terus Kementerian Pertahanan untuk baiki kapal tentera, kata Mohamad Sabu

Bekas Menteri Pertahanan Haji Mohamad Sabu menjelaskan, projek runding terus bekas kementerian beliau yang didedahkan oleh Menteri Kewangan adalah projek pembaikan kapal terbang tentera.

Berucap ketika menyokong calon bebas, Amir Khusyairi di Slim malam tadi, Mohamad berkata, projek ini pula bukan projek baru tetapi hanya lanjutan dari projek yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

“Projek RM900 juta ni, baiki kapal terbang. Ia hanya lanjutan dari kerajaan dulu.

“Baiki kapal terbang ni mahal dan tak bolehlah ia dihantar ke sebarang bengkel. Tak bolehlah hantar workshop biasa di Slim ni.

“Kalau Airbus, kita kena hantar kat Airbus. Begitulah juga dengan kapal terbang kita ni, kena hantar balik kepada pembekal dia.

“Jadi kalau nak baiki kapal terbang macam ni, kena masuk dalam tender runding bukan tender terbuka,” kata Mohamad dalam ceramah itu.

Presiden AMANAH itu juga menjelaskan, hanya 0.07% dari kesemua perolehan di bawah kerajaan PH sebelum ini dibuat secara tender runding bukan sebagaimana yang didedahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

“Dia dah main campur semua. Tender yang kita runding semula dari tender runding yang telah diluluskan pun dia campur masuk,” kata Mohamad dalam ceramah itu.